Selamat Datang

Sabtu, 19 November 2011

Tahniah anakku....

Hari khamis lalu, keputusan UPSR telah diumumkan. Anakku adalah salah seorang yang mengambil peperiksaan tersebut. Memanglag berdebar-debar aku dan isteri nak dengar keputusan yang bakal diumumkan. Anakku ini sebenarnya bukanlah seorang yang cemerlang dari segi akademiknya. Tahap dia hanya biasa sahaja dan sesuai dengan cara dan gaya laku dia. Dalam ramai anak-anak ku, dia ni taklah pandai sangat dan aku anggap pencapaiannya selama ini sederhana sahaja.

Khamis, 17 November 2011

UCAPAN GURU BESAR 'TERLAMPAU'!!! Memalukan warga pendidik




SETIU - Cikgu Abd Halim bin Mohamad , Guru Besar Sekolah Kebangsaan Langkap dekat sini, dianggap sebagai guru besar 'terlampau' apabila menuturkan kata-kata 'hodoh' dan membuat tuduhan melulu dihadapan khalayak ramai.

Rabu, 16 November 2011

Saat-saat akhir sebelum cuti....

Tinggal dua hari saja lagi sekolah akan bercuti. Semua cikgu-cikgu masing-masing sibuk dengan kerja-kerja yang nak diselesaikan. Semua peperiksaan telah selesai, jadi masing-masing sibuk menanda kertas, ada yang dah siap menanda kena masukkan markah dalam SAP dan SAPS. Kerj-kerja lain juga mesti selesai sebelum cuti. Sijil-sijil nak kena cetak. Buku kehadiran nak kena siapkan dan kemaskini. Begitu juga dengan kad-kad laporan pelajar, Sijil Pentaksiran Berasaskan sekolah, Sijil Berhenti dan surat akuan, Ujian SEGAK dan sebagainya mesti siap sebelum cuti.

Sabtu, 12 November 2011

Cikgu kena undi PR elak BEBANAN KERJA



PAS menggesa kerajaan mengkaji semula projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang dilaksanakan di Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor.

Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Idris Ahmad ketika mengulas perkara itu berkata, tindakan itu dilihat tidak wajar memandangkan guru memang sedia terbeban pada masa ini termasuk tugasan selain mengajar.


Bagi saya projek perintis akan dijadikan asas agar sistem ini diperluas kepada semua sekolah. Maka semua guru-guru akan berkerja selama 9 jam sehari.

Isnin, 7 November 2011

Persaraan Pengetua....

Esok sambutan hari persaraan Pengetua sekolah aku. hari ni sibuklah persiapan akhir untuk program tu. Kehadiran pelajar seperti biasalah kurang pelajar yang datang. Tambahan pula kelmarin cuti menyambut hari raya Aidiladha. Jadi ramailah yang menyambung cuti hari ni.

Walaupun pengetua  aku sebenarnya kan bersara pada bulan Disember nanti, kami buat majlis di sekolah pada hari esok kerana minggu depan dah bermula peperiksaan SPM tahun 2011. Jadi minggu nilah saja yang ada masa untuk pelajar-pelajar meraikan bersama-sama. Masa dan waktu lain dah tak ada. Cuti sekolah pun akan bermula cuma  dua minggu sahaja.

Sabtu, 5 November 2011

Program Pecutan Akhir....

Hari ini sekoah aku masih lagi mengadakan kelas tambahan kepada pelajar-pelajar SPM walaupun esok kita akan meyambut Hari Raya Aidil Adha. Ada dikalangan anak murid aku yang bertanya, cikgu tak buat persiapan menyambut hari Raya Haji ke?. Aku tanya semula kepada mereka, kenapa mereka berkata demikian? Kata mereka, nampak macam tak nak raya saja sebab masih buat kelas tambahan untuk mereka.

Aku kata kepada mereka bahawa kelas ini wajib sebab diarahkan berbuat demikian. Pentadbir dah arahkan buat kelas tambahan selepas habis peperiksaan percubaan lalu, maka semua kena buatlah. Progam ini disebuat pecutan akhir SPM yang melibatkan semua guru matapelajaran. Jadi disekolah aku setiap hari Sabtu sehingga peperiksaan bermula ada kelas tambahan. Pelajar diminta hadir dengan berpakaian sekolah dan jadual bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari. Guru yang mengajar matapelajaran mengikut jadual yang ditetapkan.

Khamis, 3 November 2011

DEMO MAHASISWA UPSI!!! 7000 kerja bagi kepada GSTT, mahasiswa UPSI ada ijazah perguruan disuruh 'cari kerja lain'


NONEHampir 1,000 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan demonstrasi sebagai tanda protes agar kerajaan memberi jaminan penempatan kepada bakal graduan universiti itu seperti yang diberikan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

Piket semalam yang berlangsung selama lebih kurang empat jam itu menyaksikan ucapan-ucapan menuntut hak penempatan guru untuk graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan oleh UPSI.

Rabu, 2 November 2011

Berani berubah....

Hari ni beberapa orang guru sekolah aku telah diminta menghadiri satu Taklimat Keselamatan dan Isu-isu pendidikan di sebuah institut Latihan. Dimaklumkan beratus kakitangan pendidikan dalam daerahku yang dipanggil untuk program tersebut. Tujuannya untuk menjelaskan dan memberi penerangan tentang keselamatan negara dan isu-isu pendidikan semasa. Rata-rata yang dipanggil itu dibuat secara random kerana aku lihat mereka itu bukanlah cenderung kepada pembangkang. Ini kerana mereka yang benar-benar menyokong pembangkang tidak dipanggil pun.

Jumaat, 28 Oktober 2011

Akhirnya...

Pagi tadi aku diberitahu bahawa seorang yang ternama di daerah ini telah kembali meninggalkan dunia yang fana ini. Beliau memang dikenali ramai kerana pernah menjadi Ahli Parlimen dan masih menjadi pemimpin parti sehingga kini. Oleh itu bagi penduduk di sini memang semua orang mengenali beliau. Tambahan pula beliau pernah berada di dalam Kabinet suatu ketika dulu.

Selasa, 25 Oktober 2011

Negaraku....

Hari ini cuti sempena Deepavali, aku sempat melayari blog-blog dengan masa yang lebih banyak lagi tidak seperti hari-hari bekerja yang lain. Dalam masa aku mengakses berita-berita yang terkandung dalam blog, aku tertarik dengan kupasan tentang laporan Ketua Audit Negara yang tidak dapat dibentangkan serentak dengan bajet 2011 baru-baru ini. Diantara lapaoran tersebut termasuklah laporan tentang Kementerian Pelajaran seperti berikut:

'KEMENTERIAN PELAJARAN
RM160.7 JUTA telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran untuk membina 300 makmal komputer yang. Namun, sehingga kini, hanya 2 buah makmal yang siap. Peralatan ICT yang dibekalkan sejak 3 tahun lepas masih belum dapat digunakan dan masih tersimpan akibat makmal yang tidak sempurna.'.

Rabu, 19 Oktober 2011

Sekolahku....

Salam,

Semalam sekolah ku dilawati oleh pemantau dari PPD yang datang seramai lebih kurang 6 orang. Tuuan lawatan ini untuk melihat pengurusan kurikulum dan program kecemerlangan tingkatan 5. Jadi kami para guru telah diminta bersiap sedia untuk memberi dan menyerahkan semua dokumen-dokumen yang berkaitan. Dikatakan bahawa lawatan ini juga ada kaitannya dengan sense of urgency yang menjadi agenda utama Pengarah JPN pada tahun ini.

Oleh itu sehari sebelum kedatangan mereka, sibuklah kami menyediakan dan melengkapkan apa yang diperlukan. Semua guru menjadi sibuk sehingga ada yang lewat pulang ke rumah. Malahan ada guru yang mematikan handphonenya sehingga suami yang menunggu untuk pulang, telah menelefon beberapa kali tetapi tidak dijawab oleh siisteri. Bosan juga suami bila isteri tak angkat atau menjawap penggilan yang dibuat.

Isnin, 17 Oktober 2011

Kuasa...

Salam,

Dua bulan lalu, sekolah aku dapat seorang PK baru setelah PK lama bertukar naik pangkat sebagai seorang Pengetua di daerah aku. Biasanya apabila naik pangkat menjadi Pengetua barulah ada kuasa penuh dalam sesebuah sekolah. Jadi apa yang diinginkan akan dapatlah dibuat bila ada kuasa untuk mengarahkan semua guru-guru melaksanakan apa yang diperintahkan. Kalau sekadar jadi PK saja, kuasanya masih terhad sebab masih ada Pengetua sebagai Ketua jabatan atau ketua sesebuah organisasi sahaja. Apa-apa juga tindakan yang hendak dilakukan perlu kepada persetujuan Pengetua atau Guru Besar. Tidak boleh buat sewenang-wenangnya kerana guru-guru  masih ada tempat untuk mengadu kepada Pengetua sekiranya tindakan PK ini tidak disenangi atau zalim.

Selasa, 11 Oktober 2011

Benarkah yuran sekolah 2012 percuma?


| Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 12 Okt: Pengalaman ibu bapa apabila hari persekolahan bermula mereka terpaksa membayar wang tambahan mencecah hampir RM100 dengan dinamakan pakej tambahan.
“Apakah maksud yuran percuma?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berhubung Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Jumaat lalu.

Guru Diajar Menipu

Peperiksaaan PMR telah selesai. Hari ini aku kembali bertugas ke sekolah seperti biasa setelah hampir seminggu menjadi Pengawas peperiksaan PMR. Sebaik sahaja tiba di sekolah aku dipanggil oleh pentadbir Penolong Kanan kerana aku tidak selesai memasukkan markah dalam SAPS. Dalam mesyuarat di PPD semalam, PK aku telah ditegur oleh PPD kerana kemasukan markah bagi peperiksaan percubaan PMR dan SPM masih tidak lengkap bagi sekolah aku. Teguran itu menyebabkan beliau melenting dan dimaklumkan beberapa guru sekolah aku yang tidak memasukkan markah tersebut telah dihubungi oleh beliau selesai dari mesyuarat. PK aku minta agar dimasukkan juga markah tersebut.

Ahad, 9 Oktober 2011

UMNO TERDUDUK!!! Bekas Pengarah Pendidikan Negeri dan Bekas Pegawai Tinggi TLDM sertai PAS


TAIPING, 8 Okt: PAS Negeri Perak menerima ahli baru daripada dua tokoh yang dikenali iaitu bekas Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Adnan Ibrahim dan bekas pegawai tinggi TLDM Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid.
Kedua-dua tokoh itu telah hadir di Program Pelancaran 'Jom Masuk PAS' di Markas Tarbiyyah PAS, Air Kuning di sini.
Adnan berkata, beliau menyertai PAS setelah mendapat hidayah untuk menyertai perjuangan PAS dan meninggalkan Umno selepas pulang dari tanah suci.
"Ketika saya berkhidmat dahulu, teruk saya maki dan memarahi guru-guru yang menyokong PAS. Saya ketika itu sangat benci dengan PAS dan memandang PAS ini sebagai parti yang mempergunakan agama demi politik," katanya dengan nada kesal.

Rabu, 21 September 2011

NKRA.....

Dua hari berturut-turut berita disiarkan dalam akhbar harian tentang dua murid darah enam dikurung dari mengambil peperiksaan UPSR. Bila ditanya kepada murid-murid itu dikatakan guru cakap mereka tak pandai. Itulah alasan mengapa murid itu tidak dibenarkan mengambil peperiksaan tersebut.

Selasa, 13 September 2011

Sense of urgency

Rata-rata sekolah di negeriku telah menghadapi demam 'sense of urgency' bila Pengarah Pelajaran nak lihat dapat Top Five atau Top Three dalam semua peperiksaan awam tahun ni. Jadi setiap sekolah membuat program yang luarbiasa bagi memastikan prestasi peperiksaan meningkat. Macam-macamlah program yang dibuat melibatkan guru-guru dan murid-murid. Semuanya adalah ke arah untuk mencapai apa yang pengarah cita-citakan.

Baju Koporat....

Hari ini dapat berita di sekolah dah tak boleh pakai baju koporat sebab bukan baju rasmi bekerja. Tapi Pengetua masih belum umumkan. cuma dapat tahu dari kawan-kawan yang dah diberi makluman oleh Pengetuanya.  Baju pun jadi isu... Apa rasionalnya tak bagi cikgu pakai baju koporat tu...

Isnin, 12 September 2011

Esok UPSR bermula...

Tahun ini seorang anakku akan mengambil UPSR dan PMR. Aku harap mereka dapat menjawap peperiksaan ini dengan baik. Esok anak ku yang akan ambil UPSR akan bermulalah peperiksaannya. Aku sangat kagum dengan kesungguhan guru-guru sekolahnya memberi kelas tambahan kepada murid-murid yang akan mengambil peperiksaan ini. Sejak dari awal tahun lagi sudah bermula kelas tersebut pada setiap hari kecuali hari Rabu disebabkan ada kokurikulum. Hari lain dari Isnin hingga Jumaat dibuat kelas tambahan dari pukul 2 hingga 4 petang.

Rabu, 7 September 2011

Hari Raya tahun ...

Dah seminggu lebih hari raya aidlfitri berlalu. Ada diantara kawan aku yang dah raya untuk puasa enam syawal. Aku baru nak ucap selamat hari raya maaf zahir dan batinpada semua yang kenal aku. Lama dah aku tak sempat tulis entri baru. Maklumlah sibuk sekarang ni dengan sence of urgency. Sebelum raya sibuk pemantauan dibuat oleh PPD dan JPN. Banyak sekolah dah dipantau nak tengok program sence of urgency samada berjalan atau tidak. Jadi smua sekolah sibuklah dengan program masing-masing untuk murid-murid UPSR,PMR dan SPM.


Isnin, 18 Julai 2011

Bersih..bersih...bersih


Hari ni dah 18 Julai..dah seminggu lebih himpunan Bersih 2.0 berlalu tapi masih ramai lagi orang memperkatakan kesan himpunan tersebut. Antaranya ialah tentang roadblock yang dibaut oleh pihak Polis di tempat aku. Dua minggu sebelim himpunan tu, polis dah buat roadblock di jalan-jalanraya samada jalan persekutuan ke atau jalan negeri sehinggakan ia amat mengganggu kelicinan perjalanan lalu lintas. Bagaikan negara seolah-olah dilanda huru hara yang hebat dan dasyat bila melihat keadaan polis yang mengawal ketat perjalanan lalulintas pada masa tersebut.

Selasa, 12 Julai 2011

Sumbangan Persaraan Pengetua.

Hari ini sekolah aku heboh sebab dapat satu surat minta sumbangan setiap guru RM10 untuk majlis persaraan seorang Pengetua di daerah aku. Surat tu minta semua cikgu sumbang RM 10. Kalau sekolah aku guru ada lebih kurang 50 orang, jadi RM500 boleh dapat. Jika dalam daerah ni ada 1000 orang dapatlah 50 ribu. Mudah sungguhlah nak cari duit dan inilah yang dikatakan sesuatu yang luarbiasa kerana selama ini kalau pengetua atau guru bersara tak pernah minta duit pada semua orang kecuali guru dan kakitangan sekolah berkenaan sahaja.

Rabu, 6 Julai 2011

Tiada Cuti Hari Sabtu

Baru tadi aku dimaklumkan bahawa cuti ganti larian 1 murid 1 sukan 1 Malaysia ditukar dari esok Jumaat 8 Julai ke hari Isnin 11 Julai 2011. Sebabnya  tak bagi guru-guru terlibat dengan perhimpunan Haram Bersih. Kalau cuti hari Jumaat, ramailah cikgu boleh pergi ke perhimpunan tu sebab biasanya kalau jumaat cuti, hari sabtu pun kena cuti kerana masa nilah ada peluang cikgu-cikgu balik kampung ziarah ibu bapa dan sebagainya.

Kebajikan guru

Hari ni ramai kawan-kawan aku merungut-rungut tentang kerja yang terpaksa dihadiri pada setiap hari sabtu. Dahlah cuti pertengahan tahun baru-baru ni hanya dapat seminggu sahaja sebab  wajib kena buat kelas tambahan pada murid. Jadi kalau nak kira cuti, dah tak macam dulu. Guru dulu banyak cutinya. Tapi kini tak macam tu. Cuti pun kena sekolah dan buat kelas tambahan supaya prestasi peperiksaan murid akan bertambah baik. Inilah yang dikatakan pendidikan masih lagi berorientasikan peperiksaan.

Isnin, 4 Julai 2011

TITAH YANG DIPERTUAN AGUNG



Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Isnin, 27 Jun 2011

AMARAN UNTUK GURU-GURU

Bekas Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Nordin Mahmud menyelar Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengugut untuk menggantung tugas dan gaji guru yang menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Ahad, 26 Jun 2011

Lega


Hari ni alhamdulillah selesai lagi dua kertas peperiksaan. Rasa lega sangat sebab sepanjang minggu ni asyik sibuk dengan mengulangkaji pelajaran bagi nak menduduki peperiksaan. Dahlah sibuk dengan kerja-kerja yang memang tak berkesudahan, ditambah pula semangat nak belajar jadi ambillah kursus ni. Lagi pun ingat, menuntut ilmu itu hingga ke liang lahat. Samada nak buat secara formal atau tidak, bergantung pada masing-masing. Oleh sebab sibuk belajar maka anak-anak asyik tanya kenapa abah dan ummi asyik baca buku saja. Aku bagi tau, abah dengan ummi ambil peperiksaan jadi kenalah baca buku. Barulah boleh lulus peperiksaan tu.

Rabu, 22 Jun 2011

Peperiksaan

Minggu lepas baru balik mesyuarat kat SA. Jadi, dah tiga minggulah tak jumpa anak murid di sekolah sebab bila buka sekolah terus pergi mesyuarat. Minggu ni baru bertemu dengan anak-anak didik yang tengah semangat nak belajar sebab peperiksaan SPM dah tak lama lagi. Jadi bila cikgu tak datang sekolah tertunggu-tunggulah mereka kononnya nak belajarlah. Bila kita ada disekolah tak ada pula yang nak tercari-cari untuk belajar. Inilah karenah murid-murid sekarang. Tapi yang rajin tu ada juga.

Sabtu, 28 Mei 2011

CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah dah mula pada semalam bagi cuti pertengahan tahun ni selama dua minggu. Tapi sekolah aku tak cuti bagi pelajar yang akan ambil PMR dan SPM. Guru dan pelajar kena datang untuk kelas tambahan selama 5 hari mulai hari Sabtu sampai hari Khamis ni. Semua wajib hadir sebab ini program sekolah. Jadi cuti kami guru pun dah kuranglah. Ingatkan masa cuti nilah nak tengok anak-anak sendiri. Tapi nampaknya kena jaga anak orang juga. Nasiblah anak sendiri tu hanya dapat bagi masa yang sedikit sahaja.

Isnin, 16 Mei 2011

CUTI

Hari ini cuti sempena wesak. Macam biasa bila cuti anak-anakku mulalah bangun lambat dan terpaksalah dikejutkan untuk bersolat subuh. Kalau hari persekolahan, mereka boleh bangun awal sendiri dan tak perlu dikejutkan. Aku pun pelik kadang-kadang bila fikirkan hal ini. Memanglah kalau nak buat ibadat ni terutamanya solat memang rasa berat.

Sebab tu dikatakan solat adalah perkara yang ringan tetapi berat untuk melakukannya. Terutamanya pada waktu Suboh. Bangun suboh tu nak buka mata bukan main susah lagi. Kalau kejutkan mereka tu, terpaksa ulang dua tiga kali. Kalau dibiarkan memang tak solatlah mereka. Tidur tu memang sedap. Sebabnya ialah kita dah dikuasai oleh hasutan iblis yang memang kerjanya untuk membawa manusia yang beriman untuk mengingkari perintah Allah.

Bila kita dah tidak taat dengan perintah Allah maka kita dah jadi kawan iblis. Memang Allah telah melaknat iblis dan Iblis telah berjanji kepada Allah untuk mengajak manusia bersama-samanya berada dalam neraka. Jadi kita kena berusaha bersungguh-sungguh untuk menghindari dari hasutan Iblis. Untuk itu perlulah kita tahu sifat-sifat Iblis lanatullah itu seperti berikut.

Seorang sahabat Nabi s.a.w bernama Anas b. Malik telah meriwayatkan satu hadis Nabi s.a.w yang menceritakan mengenai pertanyaan-pertanyaan iblis kepada Allah s.w.t tentang banyak perkara.

1. Iblis bertanya kepada Allah s.w.t: " Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat tinggal, iaitu rumah untuk berzikir kepadaMu.Tunjukkanlah kepadaku tempat kediamanku." Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai iblis! tempat kediamanmu ialah bilik air (tandas). "

2. Iblis berkata:"Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak adam itu tempat mereka berkumpul (masjid,surau) , dimanakah tempat bagiku berkumpul?." Firman Allah s.w.t yg bermaksud: "Wahai iblis! tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, tampat-tempat hiburan ( pusat membeli belah, kelab malam, pesta-pesta, majlis maksiat) dan sebagainya."

3. Iblis berkata lagi:"Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka anak Adam itu kitab untuk mereka membacanya. Tunjukkanlah padaku apakah bahan bacaanku?" Firman Allah s.w.t yang bermaksud:" Wahai Iblis, bahan bacaanmu ialah syair (sajak/lagu/ puisi yang melalaikan manusia dari mengingati Tuhan).

4. Iblis berkata:"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka cerita-cerita (kata-kata benar), apakah cerita-cerita bagiku?". Firman Allah s.w.t yang bermaksud: " cerita-cerita bagimu adalah kata-kata dusta ( bohong atau yang berkaitan dengannya)"

5. Iblis bertanya lagi: "Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan azan kepada anak Adam untuk mengajak atau mengumpulkan orang datang bersembahyang berjemaah, apakah azanku untuk mengumpul orang?". Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "wahai iblis, azan untuk mu ialah seruling."

6. Tanya iblis lagi:"Ya Tuhanku! Engkau telah mengutus para utusanmu (para nabi dan rasul) kepada anak Adam, siapakah yang menjadi utusan bagiku?". Firman Allah s.w.t yang bermaksud:" Wahai iblis para utusanmu ialah terdiri dari dukun (peramal nasib), ataupun yang lebih kurang sama dengannya."

7. Kata iblis:"Ya Tuhanku! Engkau telah berikan kitab bertulis (ayat-ayat Al Quran)kepada anak Adam. Apakah tulisanbagiku? ." Firman Allah s.w.t yang bermaksud:"wahai iblis, tulisanmu adalah tulisan gincu yang palsu dibadan, (seperti gincu, tatu, tahilalat yang diada-adakan dan yang lebih kurang sama dengannya)

8. kata iblis:"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikankepada anak Adam itu perangkap-perangkap . Apakah perangkap bagiku?." Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:"wahai iblis, perangkap untukmu ialah wanita-wanita. "

9. Kata iblis:"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan makanan kepada anak-anak Adam (yang disebutkan namaMu), apakah makanan untukku?."Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "wahai iblis, makanan untukmu ialah sesuatu yang tidak disebut nama Allah."

SELAMAT HARI GURU

Hari ini semua sekolah menyambut hari guru di seluruh negara. Sekolah aku juga turut sambut sama denga berbagai acara yang diadakan seperti pertandingan bola sepak, bola jaring, sukaneka dan persembahan oleh guru dan pelajar seperti biasa. Tahun ni sambutan agak kurang kerana selalunya pada awal pagi selepas diadakan bacaan ucapan Menteri Pelajaran, Ketua Pengarah Pelajaran dan Pengarah Pelajaran negeri ada dibuat majlis memotong kek hari guru tapi tak ada. Pemberian cenderamata kepada guru memang ada setiap tahun.

Pelajar-pelajar pula yang memberi cenderamata kepada guru juga kurang. Selalunya banyaklah hadiah yang diberi oleh pelajar-pelajar terutamanya dari kelas sendiri tapi kali ni tak ada. Barangkali sebab keadaan ekonomi sekarang ni. Harga barang naik menyebabkan semua orang terpaksa berjimat sikit. Tak bolehlah nak belanja seperti dulu. Hadiah tak penting, cuma berilah sedikit penghargaan kalau tak pun ucapkanlah selamat hari guru sudah memadai.

Sebagai guru tugas mendidik adalah tugas utama yang tidak diminta balasan. Hanya balasan dari Allah yang dinantikan agar Allah meredhai dan memasukkan ke dalam syurganya di akhirat kelak. Itu yang amat berharga dan menjadi idaman bagi semua orang yang beriman. Begitulah yang diharapkan dan sebab itulah dikatakan menjadi guru adalah suatu pekerjaaan yang sangat mulia di sisi Allah.

Untuk semua guru, jadikanlah diri kita sebagai pendidik yang hanya mengharapkan keredhaan Allah dalam mendidik anak bangsa. Segala cabaran dan kerenah nak didik kita hendaklah kita hadapi dengan tabah dan sabar. Berusaha dan beriktiarlah dengan bersungguh-sungguh dalam mendidik mereka. Jadilah pendidik yang ikhlas dalam menjalankan tugas. Hati kita akan puas apabila melihat kejayaan anak-anak didik kita.InsyaAllah.

Ahad, 8 Mei 2011

Hari Ibu



Anakku yang diasrama hari ni telah telefon isteriku untuk ucapkan Selamat hari Ibu. Aku dah tak ada ibu. Hampir lima belas tahun yang lalu dia meninggalkan kami. Aku masih ingat lagi, ibu pergi menghadap Ilahi semasa isteriku baru sahaja melahirkan anakku yang ketiga, Athirah. Umurnya ketika itu baru tujuh hari.

Selepas isteriku bersalin, ibu bersungguh-sungguh mengajak aku supaya menghantar isteriku ke rumahnya dikampung untuk menjaganya. Selepas tiga hari, mereka datang mengambil isteri dan anak-anakku balik kampung. Tinggallah aku seorang diri. Lagi pun anak-anakku yang pertama dan kedua juga masih kecil berumur enam dan lima tahun. Semuanya ikut pulang bersama Atok dan nenek.

Pada hari Sabtu, aku ada mesyuarat buku teks daerah. Jadi aku tak bercadang untuk balik kampung. Ketika itu aku masih baru sahaja bertugas di sebuah sekolah di Daerah Tapah dan ditugaskan sebagai guru buku teks. Lagi pun isteri dan anakku baru saja dibawa pulang kekampung oleh ibu dan ayahku.
Aku ingat dan bercadang untuk balik kampung pada minggu hadapan.

Malam itu aku telah menelefon ibuku bertanya khabar dirinya, isteri dan anakku yang baru lahir. Ketika berbual dengannya, dia mengingatkan aku agar tidak lupa menanam uri anakku dengan segera. Aku tidak merasakan sebarang perubahan apa-apa pada ibuku itu. Pada malam itu juga aku telah membersihkan uri tersebut dan menanamnya dengan segera sebagaimana yang disuruh oleh ibuku.

Aku telah menyiapkan persediaan untuk mesyuarat esoknya sehingga lewat malam. Tiba-tiba pada jam empat pagi aku dikejutkan dengan ketukkan pintu bertalu-talu. Apabila dibuka aku lihat abangku yang tinggal di Ipoh bersama isterinya. Lalu diberitahu bahawa ibu telah pergi buat selama-lamanya jam tiga pagi tadi. Aku peluk abangku sambil menangis teresak-esak. Tidak ada telefon di rumahku. Sebab itulah mereka datang untuk mengambil aku untuk pulang bersama-sama ke kampung.

Kami sampai jam 6.00pagi di kampung. Aku terus menuju ke jenazah ibuku. Ku lihat wajahnya yang tenang seperti yang selalu ku lihat sewaktu dia tidur. Hati ku terasa pilu dan sedih kerana aku masih tidak dapat berbakti kepada dia. Dulu sewaktu aku belajar, aku bercita-cita untuk membalas segala jasanya. Biarlah selepas aku bekerja, aku ingin bukan sahaja menyara kehidupan ibu dan ayahku malah aku ingin supaya mereka tinggal bersama kami. Allah yang menentukan segalanya. Aku hanya berupaya merancang tetapi semuanya yang menentukan.

Ibu pergi dalam keadaan sihat. Tanpa diduga dia pergi meninggalkan kami. Seluruh keluarga terkejut dengan pemergian ibu. Ibu tak sakit pun. Abangku yang kedua mengatakan bahawa ibu bangun kerana rasa nak muntah-muntah dan dibawa ke bilik air oleh ayahku. Setelah muntah dan diberikan air untuk diminum, dia dipapah semula ke bilik tidur dan ketika itu terdapat tanda-tanda dia akan pergi, lalu di minta ampun dan maaf kepada ayah dan minta disampaikan kepada semua anak-anaknya disamping dia juga memaafkan semua anak-anaknya di dunia dan akhirat. Setelah mengucap dua kalimah sahadah dia pergi buat selamanya.

Kasihnya kepada anak-anak sangatlah mendalam. Walaupun kami adalah satu keluarga yang besar iaitu sembilan adik-beradik, ibu tidak pernah membezakan kasih-sayang. Semua keperluan kami akan cuba dipenuhi walaupaun ayah hanyalah seorang pesawah yang berpendapatan kecil. Pelajaran kami sangat diutamakan. Pernah ibu berkata, dia ingin melihat anak-anaknya berjaya hingga ke menara gading dan akulah anak yang pertama berjaya memenuhi cita-cita itu dan diikuti oleh adik-adiku yang lain. Walaupun abang-abang ku tidak dapat menjejakkan kaki ke sana lantaran desakan hidup dan kemiskinan ayah dan ibu, alhamdulillah sumbangan mereka, abang-abangku yang membantu ibu dan ayah menyara kami belajar di Pusat Pengajian Tinggi sangat-sangat aku hargai.

Sebab itulah apabila ibu pergi sewaktu aku baru sahaja bekerja, aku terasa sangat terlikan kerana tidak puas berbakti buat ibu. Jasanya yang sungguh tidak terbalas, sentiasa akan ku ingat. Apa yang dapat ku berikan kini hanya amal bakti dan doa untuk ibu semoga Allah merahmati dia disisinya.

Ahad, 1 Mei 2011

Pekerja


Semalam 1 Mei hari pekerja. Semua anak-anak aku balik dari asrama. Aku ingat dapatlah kami berehat-rehat bersama-sama sebab semuanya ada. Tiba-tiba saja isteriku memberitahu bahawa dia ada tugas melatih pelajar-pelajarnya untuk pertandingan kawad kaki yang akan berlangsung pada hari khamis minggu hadapan. Tercengang-cengang aku dibuatnya sebab ingatkan hari cuti pekerja dah tak ada tugas.

Begitulah komitmen  seorang guru yang berdedikasi tanpa mengira waktu dah masa serta tenaga. Kepentingan kerja diletakkan melebihi kepentingan diri dan keluarga. terpaksalah aku menghantar dan mengambil dia pergi balik dari sekolah. Kadang-kadang terasa juga dihati ini, tak ada masa lain ke? Apa yang ida dapat buat kerja macam ni. Orang lain senang- lenang di rumah. Anugerah khidmat cemerlang dapat juga. Tak payah kerja teruk-teruk. Sesetengah tu kerja yang dibuat tak seberapa dan kadang kadang kerja yang  co-busisness tu pun tak buat sangat. Tapi dapat juga APC.

Yang kesiannya, ada kawan-kawan yang kerja betul-betul. Buat dengan penuh kesungguhan, tekun dan sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang tapi tak pernah dapat APC. Bunkan tu saja kenaikan pangkat pun di halang. Dengar kata sebab dia tu disenaraikan kelabu. Jadi dah black list. Jangan haraplah nak dapat APC ke, naik pangkat ke dan sebagainya. Bila dah dianggap kelabu ke, hitam ke habislah masa depan kononnya. Bagi aku rezeki ditentukan oleh Allah. Jika Allah izinkan tiada siapa pun boleh halang.

Sebab semua manusia kepunyaannya. Hanya Allah sahaja yang memberi keizinan. Jika tak diizinkan tak siapa boleh melakukkannya. Oleh itu ingatlah kepada mereka yang mempunyai kuasa. Kuasa itu sementara sahaja. Bila-bila masa Allah boleh mencabutnya samaada dengan melakukan kesalahan atau pun dimatikannya. Itu kerja Allah dan manusia tak dapat menentukannya.Jadi gunakanlah kuasa yang dipinjamkan itu dengan adil dan saksama dalam membuat apa juga keputusan. Allah juga akan memberi balasan pada setiap perbuatan yang kita lakukan termasuk menggunakan kuasa yang ada.

Rabu, 27 April 2011

Rezeki

Hari Isnin lalu , kawan aku pergi Ipoh untuk urusan kewangan dan dimaklumkan bahawa tahun ni, dah boleh claim tujuh puluh sen sekilometer bagi tuntutan perjalanan. Cuma katanya hanya setakat 100 km sahaja. Jika perjalanan tu melebihi 100 km, maka yang bakinya hanya boleh tuntut 20 sen bagi satu kilometer. Samalah dengan tuntutan yang dibenarkan bagi tahun lalu dan sebelumnya.

Nampaknya tahun ni, untunglah bagi mereka yang bermesyuarat dalam daerah sebab biasanya dalam daerah perjalanan tak jauh sangat dan paling jauh lebih kurang 30 km sahaja. Jadi pergi balik hanya 60 km sahaja dan bolehlah tuntut penuh 70 sen sekilometer. Bagi yang bermesyuarat jauh ke luar daerah tak untung sangatlah umpamanya ke Ipoh lebih kurang 212km pergi balik.

Oleh sebab boleh tuntut 70sen, tahun ni mesyuarat Panitia Daerah dipanggil oleh PPD. Tahun lepas PPD serah semua urusan pada Pengetua sekolah yang menjadi Pengerusinya. Tapi tahun ini semua urusan dibuat oleh PPD. Nampaknya ada perubahan sikit dan barangkali mungkin dah boleh claim agaknya... Begitulah sikap dan sifat manusia dalam kehidupan kot. Bila ada kesempatan dan peluang maka kerja dibuat dengan baik, ikhlas dan bersungguh-sungguh. Tapi bila tak ada peluang, tak untung dan sebagainya maka dibuatlah ala kadar sahaja.

Sebenarnya kerja itu adalah ibadah. Jika dibuat dengan bersungguh-sungguh bukan sahaja gaji dan elaun yang kita dapat bahkan ia menjadi berkat dan dapat pahala yang amat banyak di akhirat kelak. Asalkan niat bekerja itu betul kerana Allah dan untuk mendapat rezeki yang halal. Mungkin kita tak nampak pahala tu sebab yang nampak hanyalah gaji dan boleh claim elaun.

Apabila kerja dibuat secara bersungguh-sungguh, InsyaAllah akan dapat keberkatan dalam kehidupan. Rezeki yang dicari dan dibawa pulang untuk anak isteri yang bersih lagi halal akan membawa kebahagian dalam kehidupan berkeluarga. Jika ada yang culas, bekerja sambil lewa, tidak ikhlas dan sebagainya maka apa yang diperolehi tidak akan memberi ketenteraman kepada diri dan keluarga.

Apa yang dibimbangkan ialah rezeki itu tidak halal. Maka diakhirat kelak akan disoal oleh Allah dari mana kita memperolehinya. Di dunia ini mungkin ramai yang tak berasa apa-apa lagi. Tapi ingat kita semua akan mati dan seterusnya berjumpa dengan Yang Maha Berkuasa dan Maha Besar. Jadi bersedialah dari sekarang dengan amalan-amalan yang soleh dan baik. Jauhilah dari mengambil sesuatu yang tidak halal atau yang subahat dalam kehidupan kita. Moga-moga rezeki yang diperolehi mendapat berkat.

Selasa, 26 April 2011

Kebajikan

Baru-baru ni kawan aku telah diminta untuk terlibat dengan membuat soalan-soalan peperiksaan percubaan untuk tahun ini dan juga soalan-soalan latihan. Biasanya surat panggilan tajuknya ialah mesyuarat tapi kali ini diberi tajuk bengkel. Maknanya bila nak buat tuntutan perjalanan kena claim teksi satu tempat duduklah. Kalau mesyuarat boleh claim perbatuan. Bengkel tu bertujuan nak sediakan soalan-soalan kepada semua sekolah di seluruh negeri supaya sama dan nak capai prestasi peperiksaan yang baik.

Tahun lalu keputusan peperiksaan negeri teruk walaupun target tu yang ke sebelas kot tapi yang dapat ialah tempat ke enambelas. Tahun ni target yang ke lima sebab tu nak dapat pencapaian yang luarbiasa tu, maka kena buat sesuatu yang luarbiasa jugalah. Macam negeri Terengganu agaknya yang saban tahun semua peperiksaan awamnya menunjukkan kecemerlangan dan salah satu sebabnya dikatakan peperiksaan diperingkat negeri telah diselaraskan dan mirip kepada peperiksaan sebenar samada UPSR,PMR,SPM dan STPM.

Jadi nak dapat peningkatan yang luarbiasa ni, maka program seperti ini dibuat. Guru-guru dipanggillah buat soalan mengikut mata pelajaran. Nak bina soalan ni bukanlah mudah. Kena buat dengan cermat dan mesti memberi tumpuan tenaga dan fikiran. Kalau nak mudah, bolehlah ambil soalan-soalan yang lalu. Tapi itu kerja orang malas. Jika nak bina yang terbaik, mestilah ada pengetahuan dari segi JSU dan bukan setakat itu mestilah mengetahui sistem sembilan point, aras kesukaran dan sebagainya. Bukan mudah.

Jadi guru yang dipilih ni mestilah mahir dan boleh membuat analisis soalan-soalan yang lalu. Sudah tentulah banyak tenaga mental dan fizikal yang digunakan. Biasanya untuk menghadiri program tu, kenalah bawa kenderaan sendiri. Malangnya tuntutan yang oleh dibuat hanyalah claim teksi satu tempat duduk ataupun kalau perbatuan bolehlah tuntut dua puluh sen sekilometer. Inilah yang disebut oleh kawan aku tu yang katanya tenaga kita diperah betul tapi kebajikan tak dijaga.

Katanya lagi nak ikut di Terangganu mana boleh. Guru yang dipanggil untuk membuat soalan tu dibayar elaun khas mengikut jenis soalan yang dibuat. Tempat program pembinaan soalan tu pula dibuat ditempat yang hebat seperti di tempat peranginan tertentu. Mereka boleh tuntut claim penuh mengikut arahan pekeliling perbendaharaan. Diberi cenderamata khas pula selepas selesai tugasan seperti lap top setiap orang. Memang hebat peruntukan untuk mereka. Barulah cikgu ada semangat nak buat kerja. Semua sekolah pula membuat kelas tambahan, yang gurunya dibayar samada pada waktu petang atau malam. Ini barulah namanya jaga kebajikan guru.

Khamis, 21 April 2011

Perangai Kawan-Kawan

Aku baru balik dari satu meeting di KL. Sampai di rumah, isteriku mulalah bercerita tentang rakan sekerjanya yang marah-marah sebab dapat jadual waktu baru yang mungkin dia rasa tak selesa kut. Yang sedihnya kata isteriku, boleh dia menengking dan marah sebab tak puas hati dengan jadualnya dan memarahi isteriku dihadapan rakan-rakan yang lain.

Kalau tak puas hati pun, pergilah jumpa dengan Penolong Kanan sebab semua perancangan jadual waktu tu dibuat oleh PK dan dipersetujui oleh Pengetua. Bukannya boleh buat ikut suka hati guru jadual waktu. Guru jadual waktu hanya mengikut arahan sahaja. Mungkin boleh beri cadangan sikit pada PK tapi keputusan tetap ditangan PK dan Pengetua. Jadi buat apa marahkan guru jadual waktu. Pergilah jumpa PK ke atau Pengetua ke.

Dahlah guru jadual ni teruk nak buat jadual tibab-tibab senang-senang saja kena marah dengan rakan sejawat. Pada aku ini kawan yang dah melampau. Dia ingat senang ke nak buat jadual waktu. Walaupun aku bukan guru jadual waktu, tapi bila aku tengok isteri aku buat, mungkin aku sendiri pun tak sanggup nak buat.

Orang yang tak tahu memang senang cakap. Cubalah jadi atau minta jadi guru jadual waktu pada PK atau Pengetua. Buat jadual ni tak cukup masa. Tak siap siang trerpaksa sambung pada malamnya. Sambung kerja pun bukannya sambung macam tu saja. Kalau dah buat mesti sampai selesai. Memang guna komputer untuk prosesnya tapi kalau tak siap kena buat semula dari awal.

Sebelum aku pergi mesyuarat, isteri aku memang sibuk nak siapkan jadual baru. Cuti hari Sabtu dan Ahad dia proses jadual. Terpaksa aku pula uruskan rumahtangga. Akulah yang masak, basuh pakaian, pergi pasar, kemas rumah, layan anak-anak selama dua hari tu. Isteriku proses jadual tu tak siap juga, sampai malam Isnin tu tak tidur sampai pukul 5 pagi. Esok dah nak bagi jadual. Memang aku kesian kat dia.

Pagi tu aku terus pergi mesyuarat selama 4 hari. Petangnya aku telefon dia kata tak berapa sihat. Aku rasa biasalah sebab malam tu dah tak tidur dan esoknya pergi kerja. Kalau masa muda dulu memanglah boleh buat macam tu. Masa di Universiti dulu tidur boleh kata sejam dua sudah cukup terutamanya masa buat tesis. Asyik mengadap komputer saja bagi siapkan keja-kerja tu. Sekarang ni bila dah berusia makin meningkat dah tak boleh buat macam tu.

Rupanya disebalik tu dia kena marah dan tengking oleh kawan-kawan yang tak puas hati. Jadi dahlah tak cukup tidur, tambah pula tersinggung dengan kata-kata kawan pula maka bertambahlah tak sihat. Tadi aku bawa pergi klinik dan doktor bagi MC dua hari suruh rehat dan tenangkan perasaan. Isteriku ni tak pandai nak balas kata-kata orang. Kalau akau senang saja nak jawab, kalau tak mau terima buatlah jadual sendiri. Kalau tak boleh dan rasa dah tak sesuai jadi cikgu , boleh letak jawatan dan cari kerja lain. Dia ingat kita ni kuli dia ke? Dia ingat dia saja nak selesa. Kita yang berkerja tanpa ambil kira masa dan tenaga ni, dia ingat kita seronok dan mahu sangat ke? Kalau macam tu, pergilah ambil kerja ni, buatlah jadual sendiri.

Buat jadual waktu ni, masa orang cuti sekolah, isteriku kena datang sekolah dan bincang dengan PK untuk rancang jadual terutamanya pada awal tahun. Kadang-kadang aku dan anak-anak nak pergi bercuti pun tidak selesa berbanding dengan orang lain. Mereka boleh bercuti panjang tanpa gangguan tapi aku dan keluarga tak boleh cuti lama.

Walaupun kami berada di rumah tapi isteriku terpaksa proses jadual waktu yang perlu diberikan pada mesyuarat pertama awal persekolahan.  Kadang-kadang apabila ada pertukaran guru dan sebagainya terpaksalah buat semula jadual baru. Keadaan ini kerap berlaku kadang-kadang setahun sampai tiga empat kali. Inilah hakikat yang tidak diketahui oleh rakan-rakan yang lain.Aku harap cubalah fahami diri orang lain sama dan janganlah mementingkan diri sendiri sahaja.

Sabtu, 16 April 2011

Pilih kepimpinan.

Semalam aku hadir dalam satu mesyuarat. Dalam mesyuarat tu ada pemilihan AJK baru. Maknanya ada buat pemilihan kepimpinanlah. Suasana pemilihan tu biasa saja tak lah panas. Kebetulan pula dengan hari mengundi pilhanraya Sarawak. Tu pun nak pilih kepimpinan di peringkat negeri secara mengundi.

Perjalanan mesyuarat yang aku hadiri tu berjalan dengan baik walaupun soal jawab agak banyak juga berkaitan dengan aktiviti dan kewangan organisasi yang ditanya oleh ahli. Begitu juga semasa pemilihan AJK yang dibuat secara mengundi juga berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah. Nampaknya ahli-ahli telah memilih AJK atau kepimpinan yang benar-benar dapat menjalankan kerja mereka dengan baik. Kepimpinan ini sangat penting samada diperingkat persatuan, pertubuhan,parti politik, dan negara. Merekalah yang mencorakkan sesuatu dasar atau aktiviti yang hendak dibuat. Jika tersalah memilih pemimpin ini, rosaklah sesuatu persatuan, pertubuhan atau parti politik dan negara yang dipimpin.

Oleh itu pada aku, jika nak pilih pemimpin mestilah berhati-hati dan berprinsip. Kalau pemimpin tu tidak amanah, tidak jujur, mementingkan diri sendiri,keluarga atau kroni, makan rasuah, dan sebagainya kita tak boleh lantik dia untuk jadi pemimpin. Sebabnya kejahatan atau maksiat yang dilakukan oleh mereka itu akan ada sahamnya untuk kita juga. Dosa yang dilakukan oleh mereka ada bahagiannya untuk kita kerana kitalah yang memilih mereka. Untuk hindari kita dari dosa itu, kita boleh pilih orang yang tak melakukan dosa atau maksiat sebagai pemimpin kita.

Ramai orang tak ambil hal atau kisah pun dalam soal pilih pemimpin ni. Sebab tu ada pemimpin yang jelas tak bermoral, rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya masih jadi pemimpin. Kita kena ingat soal halal dan haram ,dosa dan pahala, mati yang akan pasti tiba, timbangan amalan baik dan buruk serta balasan syurga dan neraka diakhirat kelak. Jangan ingat soal hidup di dunia sahaja. Hidup kita di dunia tidak berhenti setkat ini sahaja bahkan apa yang dilakukan di atas dunia ini akan mendapat balasannya di akhirat kelak yang akan hidup kekal selama-lamaya.

Kalau semua orang menginsafi hakikat kehidupan yang sebenarnya, keadaan hidup di dunia ini akan lebih baik, aman, sejahtera sehinggalah ke alam akhirat kelak.

Jumaat, 15 April 2011

Kewangan yang makin merosot

Semalam seorang kawan telah memberitahu aku, mesyuarat pagi tadi di PPD hanya dijamu kuih dua ketul dan air teh sahaja walaupun mesyuarat tu berakhir sampai pukul satu lebih. Biasanya kalau mesyuarat sebegitu, adalah jamuan makan tengahari tapi kali ini dah tak ada. Aku kata pada dia, perkara ni dah lama berlaku. Tak silap aku sejak dari tahun 2009 yang lalu. Mungkin kawan aku ni jarang-jarang dipanggil mesyuarat sebegitu.

Bagi aku biasalah kerana aku sering juga pergi mesyuarat sehingga ke peringkat negeri dan kebangsaan. Memanglah masa ekonomi baik dulu, bukan sahaja jamuan begitu mewah bahkan claim pun tak dipotong. Semuanya ikut pekeliling. Tapi kini dah tak macam tu. Dulu kalau mesyuarat dibuat dihotel sekurangnya empat lima bintang. Kini mesyuarat buat di dua tiga bintang sahaja. Jamuan kadang-kadang tu sampai enam kali sehari pada masa tu sampai ada yang kena penyakit macam-macam kalau selalu bermesyuarat umpamanya kencin manislah, darah tinggilah dan lain lagi.

Sekarang ini jamuan pun hanya 4 kali saja. Claim pula tak boleh guna kereta, kena guna teksi saja. Caj hanya 20 sen bagi setiap kilometer sedangkan mengikut pekeliling boleh claim 70 sen bagi setiap kilometer. Ada kawan-kawan yang tak claim langsung bila jadi macam ni. Mereka kata penat isi borang tuntutan saja dan tak berbaloi. Lebih baik buat kerja lain.

Bila aku bagi tau kawan-kawan di jabatan kerajaan yang lain, mereka kata jabatan mereka tak macam tu. Masih lagi boleh claim ikut pekeliling yang biasa. Entahlah aku pun tak tahu sebab apa jabatan pelajaran macam ni. Ramai  guru yang merungut sebab ni kerana aktiviti kena berjalan juga seperti aktiviti sukan, kokurikulum dan sebagainya. Meeting sana, meeting sini, bawa pelajar masuk pertandingan itu dan ini tapi semuanya kena guna duit kocek sendiri. Nak claim tak berbaloi dengan kadar yang dibenarkan.

Pada aku, nilah kesan bila ekonomi tidak diurus dengan baik dan amanah. Allah beri amanah untuk menguruskan kekayaan ini agar kebajikan rakyat dijaga dengan baik. Apabila berlaku sebaliknya kesannya akan dirasa oleh kita semua.

Selasa, 12 April 2011

Beban tugas cikgu

Hari ini, seorang kawanku telah memberitahu kerja baru yang kena buat sebagai guru bertugas mingguan iaitu memantau perjalanan persekolahan. Dia diminta untuk berjalan keliling sekolah untuk merekodkan aktiviti yang berlaku dalam kelas dan ditempat-tempat khas seperti padang dan makmal serta bilik-bilik khas yang lain. Buku pemantauan telah disediakan mengikut butir-butir yang hendak dipantau.

Katanya sudahlah kerja guru tu dah banyak, kena tambah pula dengan kerja sebegini tapi apa nak buat sebab arahan dari pentadbiran. Khabarnya ini arahan dari pihak atasan sendiri, jabatan yang minta pengetua laksanakan program ini.

Entahlah.. sekarang ini jadi guru bukan senag dan mudah. Ramai dah yang tak nak jadi cikgu ni sebab kerjanya teruk. Kalau ada yang minta jadi cikgu pun, itu adalah pilihan terakhir kerjaya mereka. Rata-rata yang jadi cikgu ni sebab tak dapat kerja lain.  Untuk survival, jadilah sebagai guru.

Memang beban tugas guru ni semakin bertambah seperti yang sering diperkatakan orang. Guru sekarang bukan kerjanya mengajar sahaja tetapi banyak kerja yang mesti dan wajib diselesaikan.
Kalau sebagai guru kelas, mesti ambil dan rekod kedatangan pelajar setiap hari, lepas tu kena pantau keadaan kelas dari segi keceriaan. Awal persekolahan kena kutip bayaran persekolahan dari murid, tulis resit dan serah wang mengikut waktu yang ditetapkan. Jika pelajar tak hadir melebihi jumlah yang ditetapkan kena tulis surat amaran pula.

Sebagai guru mata pelajaran pula kena sedia buku rekod mengajar, bahan untuk mengajar, kertas soalan ujian dan peperiksaan, menanda buku-buku latihan, menanda kertas ujian dan peperiksaan, memasukkan markah ujian, membuat analisis keputusan ujian dan peperiksaan, mencetak dan memberi keputusan peperiksaan.

Guru bertugas pula kena rekod perjalanan persekolahan, pelajar sakit kena hantar ke hospital dan ambil balik. Kalau jadi Ketua Panitia kena buat macam-macam kerja lagi. Kalau nak sebut mungkin tak habis. Sebab tu jadi cikgu ni jawatannya merangkap banyak sangat.. sebagai kerani,pemandu ambulan ,tukang kebun, jurulatih sukan, pemandu, pengurus,  dan banyak lagi..

Kebajikan guru tak dijaga. Urusan keluarga dirumah tak dapat diuruskan dengan baik. Walaupun balik sekolah atau kerja hanya sampai pukul 2 atau 3 petang tapi kerja yang tak habis dibawa pula ke rumah. Sambung buat dirumah sampai tengah malam. Hari Sabtu pula ada saja aktiviti dan sekarang ni dah tak kira minggu. Dulu ada sebut minggu pertama dan ketiga tak boleh buat aktiviti sebab nak bagi cikgu rehat bersama keluarga. Tapi nampaknya hanya tinggal arahan saja. Hakikatnya setiap hari minggu Sabtu ada saja aktiviti dijalankan. Untunglah kakitangan kerajaan bukan guru sebab setiap minggu ada dua hari cuti sabtu dan ahad. Kadang-kadang cemburu juga dengan kawan-kawan tu.

Inilah pengorbanan yang perlu dibuat oleh cikgu....

Isnin, 11 April 2011

Hari Lahir anakku

Hari ini anak ku yang bongsu sambut hari lahir yang kelima tahun. Semalam dah sibuk ajak pergi kedai kek nak beli kek untuk bawa ke tadikanya. Bukan saja beli kek, nak beli gula-gula dan berbagai lagilah. Minta pada ibunya. Terpaksalah layan anak lelakinya itu. Aku pula banyak kerja nak disiapkan. Kerja di sekolah nak dibuat, kerja dirumah jua kena buat dan kerja-kerja lain yang terlibat dengan masyarakat juga perlu diselesaikan.

Pagi ini, semua anak-anak ku seperi biasa bangun awal untuk ke sekolah. Begitu juga isteriku dan anakku yang bongsu tu. Selalunya susah nak bangun ke sekolah tapi hari ni bila sebut nak bawa kek dan gula-gula ke tadikanya untuk sama-sama sambut dengan kawan-kawan, senang pula dia bangun dan mandi. Mungkin hari ni dia rasa seronok agaknya untuk sambut hari lahir dengan guru dan kawan-kawan di tadikanya. Beberapa hari sebelumnya bila dia balik ke rumah, dia tunjukkan sebungkus gula-gula dan biskut yang diberi oleh kawannya yang sambut hari lahir. Jadi dia pun nak buat macam tu juga.

Begitulah karenah anak kecilku ini. Dua orang abangnya  dan dua orang kakaknya bersekolah di asrama. Yang tinggal kini hanya 3 orang sahaja mereka yang masih bersekolah rendah termasuk dia. Dua orang lagi kakaknya itulah yang sering menyakat dia di rumah. Seorang darjah enam dan seorang lagi darjah tiga.

Isteriku pula seorang guru seperti aku juga. Jadi apabila kami pergi bekerja tiada siapalah dirumah. Balik sekolah barulah ada orang di rumah. Kalau ada mesyuarat atau aktiviti sekolah, maka lambatlah kami balik dan kadang-kadang anak-anak juga terpaksa lambat balik kerana menunggu kami. Anakku yang kecil ini sering menangis kerana lambat mengambil dia. Bila ditanya kenapa menangis, dia kata semua kawan-kawan dia dah pulang, tinggal dia dengan cikgu sahaja lagi.

SALAM PERKENALAN.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, aku dapat buat blog ini walaupun tak secantik blog orang lain. Banyak lagi yang patut aku belajar untuk buat blog yang menarik. Cuma  kini aku gembira sebab dah ada blog sendiri untuk aku tulis apa-apa catatan kehidupan aku sehari-hari. Kepada sesiapa yang sudi untuk membaca apa yang aku tulis, aku persilakan... kalau ada baik bolehlah kita kongsi bersama...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...