Selamat Datang

Selasa, 13 September 2011

Sense of urgency

Rata-rata sekolah di negeriku telah menghadapi demam 'sense of urgency' bila Pengarah Pelajaran nak lihat dapat Top Five atau Top Three dalam semua peperiksaan awam tahun ni. Jadi setiap sekolah membuat program yang luarbiasa bagi memastikan prestasi peperiksaan meningkat. Macam-macamlah program yang dibuat melibatkan guru-guru dan murid-murid. Semuanya adalah ke arah untuk mencapai apa yang pengarah cita-citakan.


Apa yang aku tak faham ialah sekarang ni dasar pelajaran sudah tidak mementingkan peperiksaan tetapi mengapakah negeriku ini masih lagi mengutamakan prestasi peperiksaan. Apakah peperiksaan dapat melahirkan manusia yang boleh membangunkan negara seperti yang diharapkan? Dalam pembinaan potensi murid-murid, PPK telah pun mengubal sukatan dan kaedah pembelajaran agar penekanan kepada peperiksaan tidak menjadi satu keutamaan. Malah kemenjadian murid-murid berlaku apabila mereka dapat menguasai berbagai kemahiran yang ada dan tidak hanya melalui penilaian peperiksaan.

Malahan peperiksaan awam hanya menjadi sebahagian penilaian sahaja apabila pentaksiran berasaskan sekolah akan dilaksanakan sepenuhnya kelak. Inilah yang telah diwar-warkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Sekarang ini bagi PMR sebahagian besar penilaian dibuat melalui kerja kursus kepada murid-murid. Begitu juga dengan SPM, beberapa mata pelajaran mempunyai kerja kursus sebagai sebahagian daripada penilaianmya.

Oleh itu menjadi satu yang pelik, bila pengarah mengarahkan JPN, PPD dan Sekolah melaksanakan program untuk mencapai matlamatnya. Oleh itu antara program-program yang dibuat termasuklah kelas tambahan selepas waktu persekolahan, tution pada setiap hari Sabtu setiap minggu, pecutan akhir dan banyak lagi. Akhirnya guru-guru sudah tidak mempunyai masa untuk menguruskan keluarga sendiri. Sebahagian besar masa dihabiskan di sekolah.

Kebajikan guru terabai sehinggalah ada guru perempuan yang dimarahi oleh suami dan guru lelaki dimarahi oleh isteri kerana balik lewat petang disebabkan oleh kelas tambahan. Malahan berlaku kejadian seorang guru hampir kehilangan anak kerana terlupa mengambilnya pada masa yang dijanjikan sebab mempunyai kelas tambahan waktu itu. Mujurlah anak yang berumur 8 tahun itu, yang tinggal keseorangan di sekolah telah berjalan kaki pulang sendiri ke rumah yang jauhnya hampir 5 kilometer.

Inilah kesan yang berlaku apabila sesuatu yang tidak wajar dilakukan diarahkan untuk melakukannya. Bagi guru-guru yang tidak mahu mengikut arahan pula diugut untuk ditukarkan kemana sahaja. Apakah kuasa yang ada sebagai Pengarah boleh berbuat sesuka hati. Tidakkah dia tahu bahawa ada yang lebih berkuasa lebih daripadanya.

Aku teringat bekas seorang pengarah yang lalu, kini telah insaf akan dirinya apabila tidak lagi berkuasa. Semasa menjadi pengarah dahulu, ramai kawan-kawan ku yang dikatakan pro pembangkang ditukarkan 24 jam dan sebagainya sehinggakan mereka menghadapi kesusahan yang tidak disangka. Namun doa bagi mereka yang dizalimi dimakbulkan Allah serta-merta. Akhirnya dengan linangan air mata, dalam ucapannya ketika menyertai sebuah parti pembangkang, beliau memohon ampun dan maaf di atas tindakan yang dilakukan semasa menjadi pengarah dahulu kepada orang -orang yang telah dianiaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...