Selamat Datang

Rabu, 21 September 2011

NKRA.....

Dua hari berturut-turut berita disiarkan dalam akhbar harian tentang dua murid darah enam dikurung dari mengambil peperiksaan UPSR. Bila ditanya kepada murid-murid itu dikatakan guru cakap mereka tak pandai. Itulah alasan mengapa murid itu tidak dibenarkan mengambil peperiksaan tersebut.


Apa yang ingin akan perkatakan di sini ialah adakah perkara ini berlaku di sekolah tersebut sahaja? Barangkali sebenarnya banyak sekolah-sekolah lain juga berbuat demikian dengan tidak membenarkan murid-murid mereka yang tidak pandai ini dari mengambil peperiksaan. Cumanya taklah sampai mengurung murid-murid tersebut kerana akan berlaku satu isu besar seperti ini jika diketahui umum.

Di semua sekolah kecuali sekolah berasrama penuh terdapat ramai murid-murid yang tidak pandai atau tidak menguasai pelajaran sehinggakan mereka ini gagal dalam peperiksaan. Sudah menjadi sunahtullah bahawa tidak semua murid-murid ini cemerlang dan bijak dalam pelajaran. kalau semuanya pandai, tidak ada orang yang akan bekerja sebagai petani, nelayan, tukang kebun, buruh binaan, pengutip sampah dan sebagainya. Tak mungkin pula semua mereka akan menjadi doktor, jurutera, akauntan atau profesional semuanya. Sudah tentu ada yang cemerlang dan ada yang gagal dalam pelajaran.

Keadaan ini merupakan keseimbangan dalam kehidupan. Gagal dalam pelajaran bukan bermakna gagal dalam kehidupan. Cemerlang dalam pelajaran tidak semestinya cemerlang dalam kehidupan. Banyak sudah yang boleh kita lihat dan dapat mengambilnya sebagai iktibar. Ada yang tidak pandai dan gagal dalam pelajaran tetapi sekarang ini telah berjaya dalam kehidupan. Malahan ada yang dulunya berjaya dalam pelajaran tetapi kini gagal dalam kehidupan.

Contoh  yang boleh aku bawa di sini ialah seorang kawan aku semasa di sekolah dulu selalu gagal dalam semua pelajaran. Rata-rata guru menyebut dia tak boleh berjaya dalam kehidupannya. Baru-baru ini bila aku berjumpa dengannya dan ternyata bahawa dia telah berjaya menjadi usahawan dengan pendapatan melebihi lima angka berbanding dengan aku sendiri yang tidak mempunyai pendapatan sebanyak itu. Inilah yang dikatakan kejayaan dalam kehidupan. Apa yang penting bagi aku adalah pendidikan untuk menjadi manusia yang sebenarnya lebih penting daripada berjaya dalam pelajaran.

Pendidikan untuk melahirkan manusia yang berakhlak mulia, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai-nilai norma kehidupan merupakan asas bagi semua manusia. Jika pendidikan ini telah ditanamkan pada setiap murid-murid maka akan lahirlah modal insan yang cemerlang mengikut tahap pencapaian akademik masing-masing. Ini sebenarnya yang perlu diutamakan berbanding dengan keputusan peperiksaan akademik yang sekarang ini menjadi penilaian NKRA negara...

Apa yang berlaku kini, semua sekolah ditekankan untuk pencapaian prestasi peperiksaan. Oleh itu semua sekolah berlumba-lumba agar murid-muridnya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan awamnya. Akhirnya disetiap sekolah akan ada murid yang tidak cemerlang atau boleh lulus semuanya. Maka mereka inilah yang menjadi batu penghalang peratus kelulusan sekolah tersebut. Untuk meningkatkan peratus kelulusan atau kecemelangan prestasi peperiksaan, murid-murid ini tidak perlu menduduki peperiksaan tersebut kerana ia tidak akan dikira dalam keputusan peperiksaan. Jika mereka mengambil peperiksaan tersebut dan gagal, inilah yang menyumbangkan kepada peratus kelulusan yang rendah kepada sekolah.

Tambahan pula kini ada tawaran kepada pengetua, guru besar yang berjaya menunjukkan pencapaian prestasi keputusan peperiksaan akan diberi ganjaran yang lumayan. maka berlumba-lumbalah mereka memaksa dan memerah kudrat dan tenaga guru-guru agar semua murid-muridnya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan walau dengan apa cara sekali pun. Fenomena ini suatu yang tidak asing lagi sejak kebelakangan ini disemua sekolah.

Apa yang dikesali, suara-suara yang mengatakan peperiksaan bukanlah satu-satunya elemen penilaian untuk murid-murid, sudah tidak boleh digunapakai di sekolah kini. Walaupun disebut bahawa akan dilaksanakan pentaksiran berasaskan sekolah bermula pada tahun 2012 yang akan datang. Semua peperiksaan awam akan dilonggarkan. Cakap-cakap ini ibarat tong kosong sahaja. Apa-apa pun keputusan peperiksaan juga yang menjadi petunjuk dan penentu di sekolah. Jika ia merosot, guru-guru akan ditanya apa yang telah dilakukan kepada murid-murid dan dikehendaki membuat laporan. Jika cemerlang, biasanya ini adalah kebijaksanaan JPN,PPD dan Pengetua sekolah dalam mengurus dan mentadbir pendidikan. Begitulah halnya hari ini....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...