Selamat Datang

Rabu, 27 April 2011

Rezeki

Hari Isnin lalu , kawan aku pergi Ipoh untuk urusan kewangan dan dimaklumkan bahawa tahun ni, dah boleh claim tujuh puluh sen sekilometer bagi tuntutan perjalanan. Cuma katanya hanya setakat 100 km sahaja. Jika perjalanan tu melebihi 100 km, maka yang bakinya hanya boleh tuntut 20 sen bagi satu kilometer. Samalah dengan tuntutan yang dibenarkan bagi tahun lalu dan sebelumnya.

Nampaknya tahun ni, untunglah bagi mereka yang bermesyuarat dalam daerah sebab biasanya dalam daerah perjalanan tak jauh sangat dan paling jauh lebih kurang 30 km sahaja. Jadi pergi balik hanya 60 km sahaja dan bolehlah tuntut penuh 70 sen sekilometer. Bagi yang bermesyuarat jauh ke luar daerah tak untung sangatlah umpamanya ke Ipoh lebih kurang 212km pergi balik.

Oleh sebab boleh tuntut 70sen, tahun ni mesyuarat Panitia Daerah dipanggil oleh PPD. Tahun lepas PPD serah semua urusan pada Pengetua sekolah yang menjadi Pengerusinya. Tapi tahun ini semua urusan dibuat oleh PPD. Nampaknya ada perubahan sikit dan barangkali mungkin dah boleh claim agaknya... Begitulah sikap dan sifat manusia dalam kehidupan kot. Bila ada kesempatan dan peluang maka kerja dibuat dengan baik, ikhlas dan bersungguh-sungguh. Tapi bila tak ada peluang, tak untung dan sebagainya maka dibuatlah ala kadar sahaja.

Sebenarnya kerja itu adalah ibadah. Jika dibuat dengan bersungguh-sungguh bukan sahaja gaji dan elaun yang kita dapat bahkan ia menjadi berkat dan dapat pahala yang amat banyak di akhirat kelak. Asalkan niat bekerja itu betul kerana Allah dan untuk mendapat rezeki yang halal. Mungkin kita tak nampak pahala tu sebab yang nampak hanyalah gaji dan boleh claim elaun.

Apabila kerja dibuat secara bersungguh-sungguh, InsyaAllah akan dapat keberkatan dalam kehidupan. Rezeki yang dicari dan dibawa pulang untuk anak isteri yang bersih lagi halal akan membawa kebahagian dalam kehidupan berkeluarga. Jika ada yang culas, bekerja sambil lewa, tidak ikhlas dan sebagainya maka apa yang diperolehi tidak akan memberi ketenteraman kepada diri dan keluarga.

Apa yang dibimbangkan ialah rezeki itu tidak halal. Maka diakhirat kelak akan disoal oleh Allah dari mana kita memperolehinya. Di dunia ini mungkin ramai yang tak berasa apa-apa lagi. Tapi ingat kita semua akan mati dan seterusnya berjumpa dengan Yang Maha Berkuasa dan Maha Besar. Jadi bersedialah dari sekarang dengan amalan-amalan yang soleh dan baik. Jauhilah dari mengambil sesuatu yang tidak halal atau yang subahat dalam kehidupan kita. Moga-moga rezeki yang diperolehi mendapat berkat.

Selasa, 26 April 2011

Kebajikan

Baru-baru ni kawan aku telah diminta untuk terlibat dengan membuat soalan-soalan peperiksaan percubaan untuk tahun ini dan juga soalan-soalan latihan. Biasanya surat panggilan tajuknya ialah mesyuarat tapi kali ini diberi tajuk bengkel. Maknanya bila nak buat tuntutan perjalanan kena claim teksi satu tempat duduklah. Kalau mesyuarat boleh claim perbatuan. Bengkel tu bertujuan nak sediakan soalan-soalan kepada semua sekolah di seluruh negeri supaya sama dan nak capai prestasi peperiksaan yang baik.

Tahun lalu keputusan peperiksaan negeri teruk walaupun target tu yang ke sebelas kot tapi yang dapat ialah tempat ke enambelas. Tahun ni target yang ke lima sebab tu nak dapat pencapaian yang luarbiasa tu, maka kena buat sesuatu yang luarbiasa jugalah. Macam negeri Terengganu agaknya yang saban tahun semua peperiksaan awamnya menunjukkan kecemerlangan dan salah satu sebabnya dikatakan peperiksaan diperingkat negeri telah diselaraskan dan mirip kepada peperiksaan sebenar samada UPSR,PMR,SPM dan STPM.

Jadi nak dapat peningkatan yang luarbiasa ni, maka program seperti ini dibuat. Guru-guru dipanggillah buat soalan mengikut mata pelajaran. Nak bina soalan ni bukanlah mudah. Kena buat dengan cermat dan mesti memberi tumpuan tenaga dan fikiran. Kalau nak mudah, bolehlah ambil soalan-soalan yang lalu. Tapi itu kerja orang malas. Jika nak bina yang terbaik, mestilah ada pengetahuan dari segi JSU dan bukan setakat itu mestilah mengetahui sistem sembilan point, aras kesukaran dan sebagainya. Bukan mudah.

Jadi guru yang dipilih ni mestilah mahir dan boleh membuat analisis soalan-soalan yang lalu. Sudah tentulah banyak tenaga mental dan fizikal yang digunakan. Biasanya untuk menghadiri program tu, kenalah bawa kenderaan sendiri. Malangnya tuntutan yang oleh dibuat hanyalah claim teksi satu tempat duduk ataupun kalau perbatuan bolehlah tuntut dua puluh sen sekilometer. Inilah yang disebut oleh kawan aku tu yang katanya tenaga kita diperah betul tapi kebajikan tak dijaga.

Katanya lagi nak ikut di Terangganu mana boleh. Guru yang dipanggil untuk membuat soalan tu dibayar elaun khas mengikut jenis soalan yang dibuat. Tempat program pembinaan soalan tu pula dibuat ditempat yang hebat seperti di tempat peranginan tertentu. Mereka boleh tuntut claim penuh mengikut arahan pekeliling perbendaharaan. Diberi cenderamata khas pula selepas selesai tugasan seperti lap top setiap orang. Memang hebat peruntukan untuk mereka. Barulah cikgu ada semangat nak buat kerja. Semua sekolah pula membuat kelas tambahan, yang gurunya dibayar samada pada waktu petang atau malam. Ini barulah namanya jaga kebajikan guru.

Khamis, 21 April 2011

Perangai Kawan-Kawan

Aku baru balik dari satu meeting di KL. Sampai di rumah, isteriku mulalah bercerita tentang rakan sekerjanya yang marah-marah sebab dapat jadual waktu baru yang mungkin dia rasa tak selesa kut. Yang sedihnya kata isteriku, boleh dia menengking dan marah sebab tak puas hati dengan jadualnya dan memarahi isteriku dihadapan rakan-rakan yang lain.

Kalau tak puas hati pun, pergilah jumpa dengan Penolong Kanan sebab semua perancangan jadual waktu tu dibuat oleh PK dan dipersetujui oleh Pengetua. Bukannya boleh buat ikut suka hati guru jadual waktu. Guru jadual waktu hanya mengikut arahan sahaja. Mungkin boleh beri cadangan sikit pada PK tapi keputusan tetap ditangan PK dan Pengetua. Jadi buat apa marahkan guru jadual waktu. Pergilah jumpa PK ke atau Pengetua ke.

Dahlah guru jadual ni teruk nak buat jadual tibab-tibab senang-senang saja kena marah dengan rakan sejawat. Pada aku ini kawan yang dah melampau. Dia ingat senang ke nak buat jadual waktu. Walaupun aku bukan guru jadual waktu, tapi bila aku tengok isteri aku buat, mungkin aku sendiri pun tak sanggup nak buat.

Orang yang tak tahu memang senang cakap. Cubalah jadi atau minta jadi guru jadual waktu pada PK atau Pengetua. Buat jadual ni tak cukup masa. Tak siap siang trerpaksa sambung pada malamnya. Sambung kerja pun bukannya sambung macam tu saja. Kalau dah buat mesti sampai selesai. Memang guna komputer untuk prosesnya tapi kalau tak siap kena buat semula dari awal.

Sebelum aku pergi mesyuarat, isteri aku memang sibuk nak siapkan jadual baru. Cuti hari Sabtu dan Ahad dia proses jadual. Terpaksa aku pula uruskan rumahtangga. Akulah yang masak, basuh pakaian, pergi pasar, kemas rumah, layan anak-anak selama dua hari tu. Isteriku proses jadual tu tak siap juga, sampai malam Isnin tu tak tidur sampai pukul 5 pagi. Esok dah nak bagi jadual. Memang aku kesian kat dia.

Pagi tu aku terus pergi mesyuarat selama 4 hari. Petangnya aku telefon dia kata tak berapa sihat. Aku rasa biasalah sebab malam tu dah tak tidur dan esoknya pergi kerja. Kalau masa muda dulu memanglah boleh buat macam tu. Masa di Universiti dulu tidur boleh kata sejam dua sudah cukup terutamanya masa buat tesis. Asyik mengadap komputer saja bagi siapkan keja-kerja tu. Sekarang ni bila dah berusia makin meningkat dah tak boleh buat macam tu.

Rupanya disebalik tu dia kena marah dan tengking oleh kawan-kawan yang tak puas hati. Jadi dahlah tak cukup tidur, tambah pula tersinggung dengan kata-kata kawan pula maka bertambahlah tak sihat. Tadi aku bawa pergi klinik dan doktor bagi MC dua hari suruh rehat dan tenangkan perasaan. Isteriku ni tak pandai nak balas kata-kata orang. Kalau akau senang saja nak jawab, kalau tak mau terima buatlah jadual sendiri. Kalau tak boleh dan rasa dah tak sesuai jadi cikgu , boleh letak jawatan dan cari kerja lain. Dia ingat kita ni kuli dia ke? Dia ingat dia saja nak selesa. Kita yang berkerja tanpa ambil kira masa dan tenaga ni, dia ingat kita seronok dan mahu sangat ke? Kalau macam tu, pergilah ambil kerja ni, buatlah jadual sendiri.

Buat jadual waktu ni, masa orang cuti sekolah, isteriku kena datang sekolah dan bincang dengan PK untuk rancang jadual terutamanya pada awal tahun. Kadang-kadang aku dan anak-anak nak pergi bercuti pun tidak selesa berbanding dengan orang lain. Mereka boleh bercuti panjang tanpa gangguan tapi aku dan keluarga tak boleh cuti lama.

Walaupun kami berada di rumah tapi isteriku terpaksa proses jadual waktu yang perlu diberikan pada mesyuarat pertama awal persekolahan.  Kadang-kadang apabila ada pertukaran guru dan sebagainya terpaksalah buat semula jadual baru. Keadaan ini kerap berlaku kadang-kadang setahun sampai tiga empat kali. Inilah hakikat yang tidak diketahui oleh rakan-rakan yang lain.Aku harap cubalah fahami diri orang lain sama dan janganlah mementingkan diri sendiri sahaja.

Sabtu, 16 April 2011

Pilih kepimpinan.

Semalam aku hadir dalam satu mesyuarat. Dalam mesyuarat tu ada pemilihan AJK baru. Maknanya ada buat pemilihan kepimpinanlah. Suasana pemilihan tu biasa saja tak lah panas. Kebetulan pula dengan hari mengundi pilhanraya Sarawak. Tu pun nak pilih kepimpinan di peringkat negeri secara mengundi.

Perjalanan mesyuarat yang aku hadiri tu berjalan dengan baik walaupun soal jawab agak banyak juga berkaitan dengan aktiviti dan kewangan organisasi yang ditanya oleh ahli. Begitu juga semasa pemilihan AJK yang dibuat secara mengundi juga berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah. Nampaknya ahli-ahli telah memilih AJK atau kepimpinan yang benar-benar dapat menjalankan kerja mereka dengan baik. Kepimpinan ini sangat penting samada diperingkat persatuan, pertubuhan,parti politik, dan negara. Merekalah yang mencorakkan sesuatu dasar atau aktiviti yang hendak dibuat. Jika tersalah memilih pemimpin ini, rosaklah sesuatu persatuan, pertubuhan atau parti politik dan negara yang dipimpin.

Oleh itu pada aku, jika nak pilih pemimpin mestilah berhati-hati dan berprinsip. Kalau pemimpin tu tidak amanah, tidak jujur, mementingkan diri sendiri,keluarga atau kroni, makan rasuah, dan sebagainya kita tak boleh lantik dia untuk jadi pemimpin. Sebabnya kejahatan atau maksiat yang dilakukan oleh mereka itu akan ada sahamnya untuk kita juga. Dosa yang dilakukan oleh mereka ada bahagiannya untuk kita kerana kitalah yang memilih mereka. Untuk hindari kita dari dosa itu, kita boleh pilih orang yang tak melakukan dosa atau maksiat sebagai pemimpin kita.

Ramai orang tak ambil hal atau kisah pun dalam soal pilih pemimpin ni. Sebab tu ada pemimpin yang jelas tak bermoral, rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya masih jadi pemimpin. Kita kena ingat soal halal dan haram ,dosa dan pahala, mati yang akan pasti tiba, timbangan amalan baik dan buruk serta balasan syurga dan neraka diakhirat kelak. Jangan ingat soal hidup di dunia sahaja. Hidup kita di dunia tidak berhenti setkat ini sahaja bahkan apa yang dilakukan di atas dunia ini akan mendapat balasannya di akhirat kelak yang akan hidup kekal selama-lamaya.

Kalau semua orang menginsafi hakikat kehidupan yang sebenarnya, keadaan hidup di dunia ini akan lebih baik, aman, sejahtera sehinggalah ke alam akhirat kelak.

Jumaat, 15 April 2011

Kewangan yang makin merosot

Semalam seorang kawan telah memberitahu aku, mesyuarat pagi tadi di PPD hanya dijamu kuih dua ketul dan air teh sahaja walaupun mesyuarat tu berakhir sampai pukul satu lebih. Biasanya kalau mesyuarat sebegitu, adalah jamuan makan tengahari tapi kali ini dah tak ada. Aku kata pada dia, perkara ni dah lama berlaku. Tak silap aku sejak dari tahun 2009 yang lalu. Mungkin kawan aku ni jarang-jarang dipanggil mesyuarat sebegitu.

Bagi aku biasalah kerana aku sering juga pergi mesyuarat sehingga ke peringkat negeri dan kebangsaan. Memanglah masa ekonomi baik dulu, bukan sahaja jamuan begitu mewah bahkan claim pun tak dipotong. Semuanya ikut pekeliling. Tapi kini dah tak macam tu. Dulu kalau mesyuarat dibuat dihotel sekurangnya empat lima bintang. Kini mesyuarat buat di dua tiga bintang sahaja. Jamuan kadang-kadang tu sampai enam kali sehari pada masa tu sampai ada yang kena penyakit macam-macam kalau selalu bermesyuarat umpamanya kencin manislah, darah tinggilah dan lain lagi.

Sekarang ini jamuan pun hanya 4 kali saja. Claim pula tak boleh guna kereta, kena guna teksi saja. Caj hanya 20 sen bagi setiap kilometer sedangkan mengikut pekeliling boleh claim 70 sen bagi setiap kilometer. Ada kawan-kawan yang tak claim langsung bila jadi macam ni. Mereka kata penat isi borang tuntutan saja dan tak berbaloi. Lebih baik buat kerja lain.

Bila aku bagi tau kawan-kawan di jabatan kerajaan yang lain, mereka kata jabatan mereka tak macam tu. Masih lagi boleh claim ikut pekeliling yang biasa. Entahlah aku pun tak tahu sebab apa jabatan pelajaran macam ni. Ramai  guru yang merungut sebab ni kerana aktiviti kena berjalan juga seperti aktiviti sukan, kokurikulum dan sebagainya. Meeting sana, meeting sini, bawa pelajar masuk pertandingan itu dan ini tapi semuanya kena guna duit kocek sendiri. Nak claim tak berbaloi dengan kadar yang dibenarkan.

Pada aku, nilah kesan bila ekonomi tidak diurus dengan baik dan amanah. Allah beri amanah untuk menguruskan kekayaan ini agar kebajikan rakyat dijaga dengan baik. Apabila berlaku sebaliknya kesannya akan dirasa oleh kita semua.

Selasa, 12 April 2011

Beban tugas cikgu

Hari ini, seorang kawanku telah memberitahu kerja baru yang kena buat sebagai guru bertugas mingguan iaitu memantau perjalanan persekolahan. Dia diminta untuk berjalan keliling sekolah untuk merekodkan aktiviti yang berlaku dalam kelas dan ditempat-tempat khas seperti padang dan makmal serta bilik-bilik khas yang lain. Buku pemantauan telah disediakan mengikut butir-butir yang hendak dipantau.

Katanya sudahlah kerja guru tu dah banyak, kena tambah pula dengan kerja sebegini tapi apa nak buat sebab arahan dari pentadbiran. Khabarnya ini arahan dari pihak atasan sendiri, jabatan yang minta pengetua laksanakan program ini.

Entahlah.. sekarang ini jadi guru bukan senag dan mudah. Ramai dah yang tak nak jadi cikgu ni sebab kerjanya teruk. Kalau ada yang minta jadi cikgu pun, itu adalah pilihan terakhir kerjaya mereka. Rata-rata yang jadi cikgu ni sebab tak dapat kerja lain.  Untuk survival, jadilah sebagai guru.

Memang beban tugas guru ni semakin bertambah seperti yang sering diperkatakan orang. Guru sekarang bukan kerjanya mengajar sahaja tetapi banyak kerja yang mesti dan wajib diselesaikan.
Kalau sebagai guru kelas, mesti ambil dan rekod kedatangan pelajar setiap hari, lepas tu kena pantau keadaan kelas dari segi keceriaan. Awal persekolahan kena kutip bayaran persekolahan dari murid, tulis resit dan serah wang mengikut waktu yang ditetapkan. Jika pelajar tak hadir melebihi jumlah yang ditetapkan kena tulis surat amaran pula.

Sebagai guru mata pelajaran pula kena sedia buku rekod mengajar, bahan untuk mengajar, kertas soalan ujian dan peperiksaan, menanda buku-buku latihan, menanda kertas ujian dan peperiksaan, memasukkan markah ujian, membuat analisis keputusan ujian dan peperiksaan, mencetak dan memberi keputusan peperiksaan.

Guru bertugas pula kena rekod perjalanan persekolahan, pelajar sakit kena hantar ke hospital dan ambil balik. Kalau jadi Ketua Panitia kena buat macam-macam kerja lagi. Kalau nak sebut mungkin tak habis. Sebab tu jadi cikgu ni jawatannya merangkap banyak sangat.. sebagai kerani,pemandu ambulan ,tukang kebun, jurulatih sukan, pemandu, pengurus,  dan banyak lagi..

Kebajikan guru tak dijaga. Urusan keluarga dirumah tak dapat diuruskan dengan baik. Walaupun balik sekolah atau kerja hanya sampai pukul 2 atau 3 petang tapi kerja yang tak habis dibawa pula ke rumah. Sambung buat dirumah sampai tengah malam. Hari Sabtu pula ada saja aktiviti dan sekarang ni dah tak kira minggu. Dulu ada sebut minggu pertama dan ketiga tak boleh buat aktiviti sebab nak bagi cikgu rehat bersama keluarga. Tapi nampaknya hanya tinggal arahan saja. Hakikatnya setiap hari minggu Sabtu ada saja aktiviti dijalankan. Untunglah kakitangan kerajaan bukan guru sebab setiap minggu ada dua hari cuti sabtu dan ahad. Kadang-kadang cemburu juga dengan kawan-kawan tu.

Inilah pengorbanan yang perlu dibuat oleh cikgu....

Isnin, 11 April 2011

Hari Lahir anakku

Hari ini anak ku yang bongsu sambut hari lahir yang kelima tahun. Semalam dah sibuk ajak pergi kedai kek nak beli kek untuk bawa ke tadikanya. Bukan saja beli kek, nak beli gula-gula dan berbagai lagilah. Minta pada ibunya. Terpaksalah layan anak lelakinya itu. Aku pula banyak kerja nak disiapkan. Kerja di sekolah nak dibuat, kerja dirumah jua kena buat dan kerja-kerja lain yang terlibat dengan masyarakat juga perlu diselesaikan.

Pagi ini, semua anak-anak ku seperi biasa bangun awal untuk ke sekolah. Begitu juga isteriku dan anakku yang bongsu tu. Selalunya susah nak bangun ke sekolah tapi hari ni bila sebut nak bawa kek dan gula-gula ke tadikanya untuk sama-sama sambut dengan kawan-kawan, senang pula dia bangun dan mandi. Mungkin hari ni dia rasa seronok agaknya untuk sambut hari lahir dengan guru dan kawan-kawan di tadikanya. Beberapa hari sebelumnya bila dia balik ke rumah, dia tunjukkan sebungkus gula-gula dan biskut yang diberi oleh kawannya yang sambut hari lahir. Jadi dia pun nak buat macam tu juga.

Begitulah karenah anak kecilku ini. Dua orang abangnya  dan dua orang kakaknya bersekolah di asrama. Yang tinggal kini hanya 3 orang sahaja mereka yang masih bersekolah rendah termasuk dia. Dua orang lagi kakaknya itulah yang sering menyakat dia di rumah. Seorang darjah enam dan seorang lagi darjah tiga.

Isteriku pula seorang guru seperti aku juga. Jadi apabila kami pergi bekerja tiada siapalah dirumah. Balik sekolah barulah ada orang di rumah. Kalau ada mesyuarat atau aktiviti sekolah, maka lambatlah kami balik dan kadang-kadang anak-anak juga terpaksa lambat balik kerana menunggu kami. Anakku yang kecil ini sering menangis kerana lambat mengambil dia. Bila ditanya kenapa menangis, dia kata semua kawan-kawan dia dah pulang, tinggal dia dengan cikgu sahaja lagi.

SALAM PERKENALAN.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, aku dapat buat blog ini walaupun tak secantik blog orang lain. Banyak lagi yang patut aku belajar untuk buat blog yang menarik. Cuma  kini aku gembira sebab dah ada blog sendiri untuk aku tulis apa-apa catatan kehidupan aku sehari-hari. Kepada sesiapa yang sudi untuk membaca apa yang aku tulis, aku persilakan... kalau ada baik bolehlah kita kongsi bersama...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...