Selamat Datang

Sabtu, 28 Mei 2011

CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah dah mula pada semalam bagi cuti pertengahan tahun ni selama dua minggu. Tapi sekolah aku tak cuti bagi pelajar yang akan ambil PMR dan SPM. Guru dan pelajar kena datang untuk kelas tambahan selama 5 hari mulai hari Sabtu sampai hari Khamis ni. Semua wajib hadir sebab ini program sekolah. Jadi cuti kami guru pun dah kuranglah. Ingatkan masa cuti nilah nak tengok anak-anak sendiri. Tapi nampaknya kena jaga anak orang juga. Nasiblah anak sendiri tu hanya dapat bagi masa yang sedikit sahaja.

Isnin, 16 Mei 2011

CUTI

Hari ini cuti sempena wesak. Macam biasa bila cuti anak-anakku mulalah bangun lambat dan terpaksalah dikejutkan untuk bersolat subuh. Kalau hari persekolahan, mereka boleh bangun awal sendiri dan tak perlu dikejutkan. Aku pun pelik kadang-kadang bila fikirkan hal ini. Memanglah kalau nak buat ibadat ni terutamanya solat memang rasa berat.

Sebab tu dikatakan solat adalah perkara yang ringan tetapi berat untuk melakukannya. Terutamanya pada waktu Suboh. Bangun suboh tu nak buka mata bukan main susah lagi. Kalau kejutkan mereka tu, terpaksa ulang dua tiga kali. Kalau dibiarkan memang tak solatlah mereka. Tidur tu memang sedap. Sebabnya ialah kita dah dikuasai oleh hasutan iblis yang memang kerjanya untuk membawa manusia yang beriman untuk mengingkari perintah Allah.

Bila kita dah tidak taat dengan perintah Allah maka kita dah jadi kawan iblis. Memang Allah telah melaknat iblis dan Iblis telah berjanji kepada Allah untuk mengajak manusia bersama-samanya berada dalam neraka. Jadi kita kena berusaha bersungguh-sungguh untuk menghindari dari hasutan Iblis. Untuk itu perlulah kita tahu sifat-sifat Iblis lanatullah itu seperti berikut.

Seorang sahabat Nabi s.a.w bernama Anas b. Malik telah meriwayatkan satu hadis Nabi s.a.w yang menceritakan mengenai pertanyaan-pertanyaan iblis kepada Allah s.w.t tentang banyak perkara.

1. Iblis bertanya kepada Allah s.w.t: " Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat tinggal, iaitu rumah untuk berzikir kepadaMu.Tunjukkanlah kepadaku tempat kediamanku." Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai iblis! tempat kediamanmu ialah bilik air (tandas). "

2. Iblis berkata:"Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak adam itu tempat mereka berkumpul (masjid,surau) , dimanakah tempat bagiku berkumpul?." Firman Allah s.w.t yg bermaksud: "Wahai iblis! tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, tampat-tempat hiburan ( pusat membeli belah, kelab malam, pesta-pesta, majlis maksiat) dan sebagainya."

3. Iblis berkata lagi:"Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka anak Adam itu kitab untuk mereka membacanya. Tunjukkanlah padaku apakah bahan bacaanku?" Firman Allah s.w.t yang bermaksud:" Wahai Iblis, bahan bacaanmu ialah syair (sajak/lagu/ puisi yang melalaikan manusia dari mengingati Tuhan).

4. Iblis berkata:"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka cerita-cerita (kata-kata benar), apakah cerita-cerita bagiku?". Firman Allah s.w.t yang bermaksud: " cerita-cerita bagimu adalah kata-kata dusta ( bohong atau yang berkaitan dengannya)"

5. Iblis bertanya lagi: "Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan azan kepada anak Adam untuk mengajak atau mengumpulkan orang datang bersembahyang berjemaah, apakah azanku untuk mengumpul orang?". Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "wahai iblis, azan untuk mu ialah seruling."

6. Tanya iblis lagi:"Ya Tuhanku! Engkau telah mengutus para utusanmu (para nabi dan rasul) kepada anak Adam, siapakah yang menjadi utusan bagiku?". Firman Allah s.w.t yang bermaksud:" Wahai iblis para utusanmu ialah terdiri dari dukun (peramal nasib), ataupun yang lebih kurang sama dengannya."

7. Kata iblis:"Ya Tuhanku! Engkau telah berikan kitab bertulis (ayat-ayat Al Quran)kepada anak Adam. Apakah tulisanbagiku? ." Firman Allah s.w.t yang bermaksud:"wahai iblis, tulisanmu adalah tulisan gincu yang palsu dibadan, (seperti gincu, tatu, tahilalat yang diada-adakan dan yang lebih kurang sama dengannya)

8. kata iblis:"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikankepada anak Adam itu perangkap-perangkap . Apakah perangkap bagiku?." Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:"wahai iblis, perangkap untukmu ialah wanita-wanita. "

9. Kata iblis:"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan makanan kepada anak-anak Adam (yang disebutkan namaMu), apakah makanan untukku?."Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "wahai iblis, makanan untukmu ialah sesuatu yang tidak disebut nama Allah."

SELAMAT HARI GURU

Hari ini semua sekolah menyambut hari guru di seluruh negara. Sekolah aku juga turut sambut sama denga berbagai acara yang diadakan seperti pertandingan bola sepak, bola jaring, sukaneka dan persembahan oleh guru dan pelajar seperti biasa. Tahun ni sambutan agak kurang kerana selalunya pada awal pagi selepas diadakan bacaan ucapan Menteri Pelajaran, Ketua Pengarah Pelajaran dan Pengarah Pelajaran negeri ada dibuat majlis memotong kek hari guru tapi tak ada. Pemberian cenderamata kepada guru memang ada setiap tahun.

Pelajar-pelajar pula yang memberi cenderamata kepada guru juga kurang. Selalunya banyaklah hadiah yang diberi oleh pelajar-pelajar terutamanya dari kelas sendiri tapi kali ni tak ada. Barangkali sebab keadaan ekonomi sekarang ni. Harga barang naik menyebabkan semua orang terpaksa berjimat sikit. Tak bolehlah nak belanja seperti dulu. Hadiah tak penting, cuma berilah sedikit penghargaan kalau tak pun ucapkanlah selamat hari guru sudah memadai.

Sebagai guru tugas mendidik adalah tugas utama yang tidak diminta balasan. Hanya balasan dari Allah yang dinantikan agar Allah meredhai dan memasukkan ke dalam syurganya di akhirat kelak. Itu yang amat berharga dan menjadi idaman bagi semua orang yang beriman. Begitulah yang diharapkan dan sebab itulah dikatakan menjadi guru adalah suatu pekerjaaan yang sangat mulia di sisi Allah.

Untuk semua guru, jadikanlah diri kita sebagai pendidik yang hanya mengharapkan keredhaan Allah dalam mendidik anak bangsa. Segala cabaran dan kerenah nak didik kita hendaklah kita hadapi dengan tabah dan sabar. Berusaha dan beriktiarlah dengan bersungguh-sungguh dalam mendidik mereka. Jadilah pendidik yang ikhlas dalam menjalankan tugas. Hati kita akan puas apabila melihat kejayaan anak-anak didik kita.InsyaAllah.

Ahad, 8 Mei 2011

Hari Ibu



Anakku yang diasrama hari ni telah telefon isteriku untuk ucapkan Selamat hari Ibu. Aku dah tak ada ibu. Hampir lima belas tahun yang lalu dia meninggalkan kami. Aku masih ingat lagi, ibu pergi menghadap Ilahi semasa isteriku baru sahaja melahirkan anakku yang ketiga, Athirah. Umurnya ketika itu baru tujuh hari.

Selepas isteriku bersalin, ibu bersungguh-sungguh mengajak aku supaya menghantar isteriku ke rumahnya dikampung untuk menjaganya. Selepas tiga hari, mereka datang mengambil isteri dan anak-anakku balik kampung. Tinggallah aku seorang diri. Lagi pun anak-anakku yang pertama dan kedua juga masih kecil berumur enam dan lima tahun. Semuanya ikut pulang bersama Atok dan nenek.

Pada hari Sabtu, aku ada mesyuarat buku teks daerah. Jadi aku tak bercadang untuk balik kampung. Ketika itu aku masih baru sahaja bertugas di sebuah sekolah di Daerah Tapah dan ditugaskan sebagai guru buku teks. Lagi pun isteri dan anakku baru saja dibawa pulang kekampung oleh ibu dan ayahku.
Aku ingat dan bercadang untuk balik kampung pada minggu hadapan.

Malam itu aku telah menelefon ibuku bertanya khabar dirinya, isteri dan anakku yang baru lahir. Ketika berbual dengannya, dia mengingatkan aku agar tidak lupa menanam uri anakku dengan segera. Aku tidak merasakan sebarang perubahan apa-apa pada ibuku itu. Pada malam itu juga aku telah membersihkan uri tersebut dan menanamnya dengan segera sebagaimana yang disuruh oleh ibuku.

Aku telah menyiapkan persediaan untuk mesyuarat esoknya sehingga lewat malam. Tiba-tiba pada jam empat pagi aku dikejutkan dengan ketukkan pintu bertalu-talu. Apabila dibuka aku lihat abangku yang tinggal di Ipoh bersama isterinya. Lalu diberitahu bahawa ibu telah pergi buat selama-lamanya jam tiga pagi tadi. Aku peluk abangku sambil menangis teresak-esak. Tidak ada telefon di rumahku. Sebab itulah mereka datang untuk mengambil aku untuk pulang bersama-sama ke kampung.

Kami sampai jam 6.00pagi di kampung. Aku terus menuju ke jenazah ibuku. Ku lihat wajahnya yang tenang seperti yang selalu ku lihat sewaktu dia tidur. Hati ku terasa pilu dan sedih kerana aku masih tidak dapat berbakti kepada dia. Dulu sewaktu aku belajar, aku bercita-cita untuk membalas segala jasanya. Biarlah selepas aku bekerja, aku ingin bukan sahaja menyara kehidupan ibu dan ayahku malah aku ingin supaya mereka tinggal bersama kami. Allah yang menentukan segalanya. Aku hanya berupaya merancang tetapi semuanya yang menentukan.

Ibu pergi dalam keadaan sihat. Tanpa diduga dia pergi meninggalkan kami. Seluruh keluarga terkejut dengan pemergian ibu. Ibu tak sakit pun. Abangku yang kedua mengatakan bahawa ibu bangun kerana rasa nak muntah-muntah dan dibawa ke bilik air oleh ayahku. Setelah muntah dan diberikan air untuk diminum, dia dipapah semula ke bilik tidur dan ketika itu terdapat tanda-tanda dia akan pergi, lalu di minta ampun dan maaf kepada ayah dan minta disampaikan kepada semua anak-anaknya disamping dia juga memaafkan semua anak-anaknya di dunia dan akhirat. Setelah mengucap dua kalimah sahadah dia pergi buat selamanya.

Kasihnya kepada anak-anak sangatlah mendalam. Walaupun kami adalah satu keluarga yang besar iaitu sembilan adik-beradik, ibu tidak pernah membezakan kasih-sayang. Semua keperluan kami akan cuba dipenuhi walaupaun ayah hanyalah seorang pesawah yang berpendapatan kecil. Pelajaran kami sangat diutamakan. Pernah ibu berkata, dia ingin melihat anak-anaknya berjaya hingga ke menara gading dan akulah anak yang pertama berjaya memenuhi cita-cita itu dan diikuti oleh adik-adiku yang lain. Walaupun abang-abang ku tidak dapat menjejakkan kaki ke sana lantaran desakan hidup dan kemiskinan ayah dan ibu, alhamdulillah sumbangan mereka, abang-abangku yang membantu ibu dan ayah menyara kami belajar di Pusat Pengajian Tinggi sangat-sangat aku hargai.

Sebab itulah apabila ibu pergi sewaktu aku baru sahaja bekerja, aku terasa sangat terlikan kerana tidak puas berbakti buat ibu. Jasanya yang sungguh tidak terbalas, sentiasa akan ku ingat. Apa yang dapat ku berikan kini hanya amal bakti dan doa untuk ibu semoga Allah merahmati dia disisinya.

Ahad, 1 Mei 2011

Pekerja


Semalam 1 Mei hari pekerja. Semua anak-anak aku balik dari asrama. Aku ingat dapatlah kami berehat-rehat bersama-sama sebab semuanya ada. Tiba-tiba saja isteriku memberitahu bahawa dia ada tugas melatih pelajar-pelajarnya untuk pertandingan kawad kaki yang akan berlangsung pada hari khamis minggu hadapan. Tercengang-cengang aku dibuatnya sebab ingatkan hari cuti pekerja dah tak ada tugas.

Begitulah komitmen  seorang guru yang berdedikasi tanpa mengira waktu dah masa serta tenaga. Kepentingan kerja diletakkan melebihi kepentingan diri dan keluarga. terpaksalah aku menghantar dan mengambil dia pergi balik dari sekolah. Kadang-kadang terasa juga dihati ini, tak ada masa lain ke? Apa yang ida dapat buat kerja macam ni. Orang lain senang- lenang di rumah. Anugerah khidmat cemerlang dapat juga. Tak payah kerja teruk-teruk. Sesetengah tu kerja yang dibuat tak seberapa dan kadang kadang kerja yang  co-busisness tu pun tak buat sangat. Tapi dapat juga APC.

Yang kesiannya, ada kawan-kawan yang kerja betul-betul. Buat dengan penuh kesungguhan, tekun dan sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang tapi tak pernah dapat APC. Bunkan tu saja kenaikan pangkat pun di halang. Dengar kata sebab dia tu disenaraikan kelabu. Jadi dah black list. Jangan haraplah nak dapat APC ke, naik pangkat ke dan sebagainya. Bila dah dianggap kelabu ke, hitam ke habislah masa depan kononnya. Bagi aku rezeki ditentukan oleh Allah. Jika Allah izinkan tiada siapa pun boleh halang.

Sebab semua manusia kepunyaannya. Hanya Allah sahaja yang memberi keizinan. Jika tak diizinkan tak siapa boleh melakukkannya. Oleh itu ingatlah kepada mereka yang mempunyai kuasa. Kuasa itu sementara sahaja. Bila-bila masa Allah boleh mencabutnya samaada dengan melakukan kesalahan atau pun dimatikannya. Itu kerja Allah dan manusia tak dapat menentukannya.Jadi gunakanlah kuasa yang dipinjamkan itu dengan adil dan saksama dalam membuat apa juga keputusan. Allah juga akan memberi balasan pada setiap perbuatan yang kita lakukan termasuk menggunakan kuasa yang ada.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...