Selamat Datang

Ahad, 8 Mei 2011

Hari Ibu



Anakku yang diasrama hari ni telah telefon isteriku untuk ucapkan Selamat hari Ibu. Aku dah tak ada ibu. Hampir lima belas tahun yang lalu dia meninggalkan kami. Aku masih ingat lagi, ibu pergi menghadap Ilahi semasa isteriku baru sahaja melahirkan anakku yang ketiga, Athirah. Umurnya ketika itu baru tujuh hari.

Selepas isteriku bersalin, ibu bersungguh-sungguh mengajak aku supaya menghantar isteriku ke rumahnya dikampung untuk menjaganya. Selepas tiga hari, mereka datang mengambil isteri dan anak-anakku balik kampung. Tinggallah aku seorang diri. Lagi pun anak-anakku yang pertama dan kedua juga masih kecil berumur enam dan lima tahun. Semuanya ikut pulang bersama Atok dan nenek.

Pada hari Sabtu, aku ada mesyuarat buku teks daerah. Jadi aku tak bercadang untuk balik kampung. Ketika itu aku masih baru sahaja bertugas di sebuah sekolah di Daerah Tapah dan ditugaskan sebagai guru buku teks. Lagi pun isteri dan anakku baru saja dibawa pulang kekampung oleh ibu dan ayahku.
Aku ingat dan bercadang untuk balik kampung pada minggu hadapan.

Malam itu aku telah menelefon ibuku bertanya khabar dirinya, isteri dan anakku yang baru lahir. Ketika berbual dengannya, dia mengingatkan aku agar tidak lupa menanam uri anakku dengan segera. Aku tidak merasakan sebarang perubahan apa-apa pada ibuku itu. Pada malam itu juga aku telah membersihkan uri tersebut dan menanamnya dengan segera sebagaimana yang disuruh oleh ibuku.

Aku telah menyiapkan persediaan untuk mesyuarat esoknya sehingga lewat malam. Tiba-tiba pada jam empat pagi aku dikejutkan dengan ketukkan pintu bertalu-talu. Apabila dibuka aku lihat abangku yang tinggal di Ipoh bersama isterinya. Lalu diberitahu bahawa ibu telah pergi buat selama-lamanya jam tiga pagi tadi. Aku peluk abangku sambil menangis teresak-esak. Tidak ada telefon di rumahku. Sebab itulah mereka datang untuk mengambil aku untuk pulang bersama-sama ke kampung.

Kami sampai jam 6.00pagi di kampung. Aku terus menuju ke jenazah ibuku. Ku lihat wajahnya yang tenang seperti yang selalu ku lihat sewaktu dia tidur. Hati ku terasa pilu dan sedih kerana aku masih tidak dapat berbakti kepada dia. Dulu sewaktu aku belajar, aku bercita-cita untuk membalas segala jasanya. Biarlah selepas aku bekerja, aku ingin bukan sahaja menyara kehidupan ibu dan ayahku malah aku ingin supaya mereka tinggal bersama kami. Allah yang menentukan segalanya. Aku hanya berupaya merancang tetapi semuanya yang menentukan.

Ibu pergi dalam keadaan sihat. Tanpa diduga dia pergi meninggalkan kami. Seluruh keluarga terkejut dengan pemergian ibu. Ibu tak sakit pun. Abangku yang kedua mengatakan bahawa ibu bangun kerana rasa nak muntah-muntah dan dibawa ke bilik air oleh ayahku. Setelah muntah dan diberikan air untuk diminum, dia dipapah semula ke bilik tidur dan ketika itu terdapat tanda-tanda dia akan pergi, lalu di minta ampun dan maaf kepada ayah dan minta disampaikan kepada semua anak-anaknya disamping dia juga memaafkan semua anak-anaknya di dunia dan akhirat. Setelah mengucap dua kalimah sahadah dia pergi buat selamanya.

Kasihnya kepada anak-anak sangatlah mendalam. Walaupun kami adalah satu keluarga yang besar iaitu sembilan adik-beradik, ibu tidak pernah membezakan kasih-sayang. Semua keperluan kami akan cuba dipenuhi walaupaun ayah hanyalah seorang pesawah yang berpendapatan kecil. Pelajaran kami sangat diutamakan. Pernah ibu berkata, dia ingin melihat anak-anaknya berjaya hingga ke menara gading dan akulah anak yang pertama berjaya memenuhi cita-cita itu dan diikuti oleh adik-adiku yang lain. Walaupun abang-abang ku tidak dapat menjejakkan kaki ke sana lantaran desakan hidup dan kemiskinan ayah dan ibu, alhamdulillah sumbangan mereka, abang-abangku yang membantu ibu dan ayah menyara kami belajar di Pusat Pengajian Tinggi sangat-sangat aku hargai.

Sebab itulah apabila ibu pergi sewaktu aku baru sahaja bekerja, aku terasa sangat terlikan kerana tidak puas berbakti buat ibu. Jasanya yang sungguh tidak terbalas, sentiasa akan ku ingat. Apa yang dapat ku berikan kini hanya amal bakti dan doa untuk ibu semoga Allah merahmati dia disisinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...