Selamat Datang

Rabu, 2 November 2011

Berani berubah....

Hari ni beberapa orang guru sekolah aku telah diminta menghadiri satu Taklimat Keselamatan dan Isu-isu pendidikan di sebuah institut Latihan. Dimaklumkan beratus kakitangan pendidikan dalam daerahku yang dipanggil untuk program tersebut. Tujuannya untuk menjelaskan dan memberi penerangan tentang keselamatan negara dan isu-isu pendidikan semasa. Rata-rata yang dipanggil itu dibuat secara random kerana aku lihat mereka itu bukanlah cenderung kepada pembangkang. Ini kerana mereka yang benar-benar menyokong pembangkang tidak dipanggil pun.
Kebanyakkan yang dipanggil tu orang yang tidak menyokong mana-mana. Pada aku mereka inilah yang boleh ditarik untuk menyokong mana-mana parti dalam pilihanraya yang akan datang samada parti pemerintah atau parti pembangkang. Dulu masa PRU 12, ramai dikalangan warga pendidik yang telah memberikan sokongan kepada parti pembangkang ketika itu. Dapat dilihat dimana beberapa negeri telah jatuh ke tangan pembangkang. Boleh dikatakan bukan warga pendidik sahaja yang menyokong mereka malahan hampir tujuh puluh peratus kakitangan awam yang menyebelahi pembangkang ketika itu.

Antara faktor yang menyebabkan perkara itu berlaku ialah tekanan yang dibuat oleh parti pemerintah ke atas kakitangan awam. Ini jelas dengan berbagai perkara yang dilakukan sehingga menimbulkan kebencian yang amat sangat. Akhirnya sebahagian besar kakitangan awam juga turut menyokong pembangkang ketika itu. Antara yang boleh disebutkan di sini ialah akujanji dan tindakan disiplin apabila cenderung menyokong pembangkang.

Kini keadaan itu mula kelihatan dengan program-program yang dibuat kepada warga pendidik dan kakitangan awam yang lain seperti program pada hari ini. Kalaulah taklimat yang dibuat itu hanya untuk menanamkan doktrin  bagi menyokong parti pemerintah, sekali lagi aku rasa ia adalah langkah yang silap. Kalau sekadar untuk propaganda bagi pihak pemerintah dengan menunjukkan isu-isu yang sudah lapok dan basi, maka taklimat itu hanya sia-sia dan membazirkan wang rakyat sahaja.

Ini kerana setiap kali hampir pilihanraya sahaja, maka akan wujudlah program sebegini. Isu-isu yang dibawa adalah perkara yang sama sahaja. Semuanya sebagai propaganda kepada pemerintah. Apakah orang yang merancang program ini tidak membuat kajian tentang perkembangan media baru yang boleh memberi maklumat yang benar kepada orang ramai. Selain dari akhbar-akhbar, televisyen dan radio sebagai pemberi maklumat, media baru seperti laman web, blog-blog, twitter, facebook dan sebagainya menjadi media alternatif terutama kepada golongan generasi muda hari ini. Malahan kakitangan awam juga boleh mengakses untuk mendapat maklumat yang sebenarnya.

Tambahan pula rata-rata kakitangan awam terutama warga guru adalah celik komputer. Oleh itu mereka ini tidak boleh diperbodohkan dengan program seperti ini kecuali ada diantara mereka yang mempunyai kepentingan diri. Ini boleh dilihat dikalangan pentadbir atasan sahaja. Dari pemerhatian aku, sehingga sekarang kecenderungan dikalangan kakitangan awam untuk menyokong pembangkang melebihi lapan puluh peratus di semua peringkat jabatan-jabatan kerajaan.

Hak dan kebebasan untuk berpolitik adalah hak yang diterkandung dalam perlembagaan bagi semua orang tak kira samada ia kakitangan awam dan sebagainya. Tiada siapa boleh menghalang sesaorang untuk memilih atau mengundi dalam pilihanraya. Tugasnya sebagai kakitangan awam tidak terjejas walau sesiapa pun atau parti mana pun yang menjadi kerajaan. Dalam melaksanakan tugas, ia wajib melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan walaupun ia tidak meyokong parti yang menjadi kerajaan tersebut. Entiti dirinya sebagai kakitangan awam hendaklah dipisahkan dari entiti sebagai penyokong sesuatu parti.

Contohnya sebagai guru, tugasnya ialah mendidik pelajar supaya menjadi insan yang dapat menyumbangkan kepada pembangunan negara. Oleh itu tugas guru ialah menjalankan pengajaran dan pembelajaran matapelajarannya yang berkesan kepada murid-muridnya. Maka setiap hari guru itu mesti menjalankan tugasnya. Dia tidak boleh mengabaikan tugas ini sebagai kakitangan awam walaupun dia tidak bersetuju dan tidak menyokong parti kerajaan yang memerintah. Haknya untuk menyokong sesiapa tidak boleh dipertikaikan tetapi tugasnya sebagai kakitangan awam wajib dilaksanakan.

Sekiranya dia tidak menjalankan tugasnya, sedangkan gaji atau pendapatan yang diterima adalah wang rakyat maka sudah tentulah dia telah mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat. Kerajaan hanya ditugaskan untuk menguruskan kewangan negara sahaja. Pengurusan yang diberikan hanya bersifat sementara dan akan ditentukan semula melalui pilihanraya. Oleh itu jika berlaku penyelewengan atau sala urus, rakyat berhak untuk menolak mereka dalam pilihanraya akan datang. Pemilihan kerajaan melalui undi rakyat perlulah dipergunakan dengan sebaik mungkin.

Dalam era semua rakyat mempunyai pendidikan dan dapat menilai kebaikan dan keburukan yang berlaku, kita mempunyai pilihan. Yang penting pilihan kita itu dapat memberi manafaat dan kebaikan kepada kita sendiri. Sekiranya parti pemerintah yang ada sekarang tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam memberi kebajikan kepada rakyat, kita harus memberi peluang kepada parti lain dalam pilihanraya yang akan datang. Peluang yang diberi itu boleh kita lihat perkembangan dan prestasinya samada kebajikan yang ditawarkan itu lebih baik dari yang sebelumnya. Jika keadaannya sama sahaja atu lebih teruk dari itu, maka kita masih berpeluang untuk menukar pemerintah tersebut dan memberi peluang kepada parti lain.

Akhirnya kita akan dapat melihat perubahan kemajuan yang akan mengutamakan kebajikan rakyat dinegara kita. Ia akan berlaku apabila persaingan hebat antara parti yang masing-masing akan membuat tawaran kebajikan yang paling maksimum kepada rakyat. Parti mana yang boleh menawarkan kebajikan yang tinggi kepada rakyat maka parti itulah yang akan dipilih dalam pilihanraya. Perlumbaan tawaran kebajikan yang tinggi ini akan menguntungkan bukan sahaja rakyat tetapi juga negara. Oleh sebagai orang yang mempunyai pendidikan, tidak perlu takut untuk berubah. Pilihanraya lima tahun sekali, kalau peluang sudah diberi dan tiada perubahan berlaku, maka kita boleh ubah untuk lima tahun akan datang. Jadi jangan takut untuk berubah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...