Selamat Datang

Sabtu, 19 November 2011

Tahniah anakku....

Hari khamis lalu, keputusan UPSR telah diumumkan. Anakku adalah salah seorang yang mengambil peperiksaan tersebut. Memanglag berdebar-debar aku dan isteri nak dengar keputusan yang bakal diumumkan. Anakku ini sebenarnya bukanlah seorang yang cemerlang dari segi akademiknya. Tahap dia hanya biasa sahaja dan sesuai dengan cara dan gaya laku dia. Dalam ramai anak-anak ku, dia ni taklah pandai sangat dan aku anggap pencapaiannya selama ini sederhana sahaja.

Tidak seperti kakak dan abangnya sebelum ini yang agak cemerlang. Oleh itu aku dan isteri taklah harap sangat pencapaian yang cemerlang buat dia. Cumanya kami berharap juga agar dia berubah sikap untuk terus berusaha dalam pelajarannya. Selalunya dalam peperiksaan, dia akan dapat 'B atau C' sahaja dalam mata pelajaran yang diambil. Jarang sekali dia dapat 'A'. Jadi kami taklah nak menekan sangat tentang akademik dia ni. Dari pemerhatian aku dan isteri memang anak kami ini mempunyai perbezaan dengan yang lain.

Kesemua anak kami sebenarnya mempunyai sikap yang berbeza-beza antara satu sama lain. Walaupun cara didikan yang kami beri kepada mereka semua adalah sama tetapi kami dapat lihat mereka mempunyai sikap, kehendak, daya usaha dan kemahuan yang tidak sama. Begitu juga dengan keperluan semua anak-anak kami diberi dengan saksama tetapi hasil pencapaian terutama dari segi akademik tetap berbeza.

Anak-anak ku yang cemerlang memang mempunyai sikap, kehendak dan daya usaha yang tinggi untuk berjaya dalam pelajaran. Oleh itu kami sedar dari awal lagi mereka akan cemerlang berbanding dengan anak-anak ku yang sederhana sahaja pencapaiannya. Kerapkali bila aku datang ke sekolah dalam program perjumpaan dengan waris ditanya oleh guru-guru yang mengajar anak-anak ku cara mendidik mereka. Cuma kata aku, caranya hampir sama tetapi setiap mereka mempunyai sikap yang berbeza. Bagi yang pandai tu, usaha mereka lebih dari yang lain. Yang sederhana pula, usahanya agak kurang dan mereka akan belajar bila disuruh atau dipantau. Bagi yang cemerlang pula tak payah suruh, mereka akan belajar sendiri dan mereka akan selesaikan kerja sekolah mereka sehingga siap. Kadang-kadang sehingga jauh malam.

Bagi yang sederhana, mereka akan buat sekadar mampu sahaja dan seringkali kerja-kerja persekolahan tidak dapat disiapkan pada waktunya. Dari pengalaman aku dan isteri, kami dapat melihat bahawa cara mendidik anak-anak samada disekolah atau di rumah tidak boleh dibuat dengan kaedah yang sama sahaja. Sebenarnya ia memerlukan cara dan pendekatan yang berbeza bagi setiap anak-anak itu. Mereka sebenarnya mempunyai potensi untuk berjaya mengikut kaedah dan pendekatan didikan yang sesuai. Jika kena gaya dan caranya, Insyaalah anak yang kita didik itu akan berjaya.

Inilah yang dapat aku dan isteri lakukan kepada anak kami. Walaupun pencapaiannya agak sederhana tetapi setelah diusahakan dengan memberi semangat dan motivasi yang tinggi untuk terus berusaha dan belajar dengan bersungguh-sungguh seperti yang ditunjukkan olehnya, alhamdullilah akhirnya dia berjaya juga mencapai UPSR dengan 4A 1B walaupun pencapaian ini tidak pernah kami duga kerana dalam peperiksaan percubaanya, dia hanya mendapat 3B2C sahaja. Tahniah anakku...teruskan usaha dan jadikan ia sebagai satu pengalaman yang berharga untuk kejayaan yang seterusnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...