Selamat Datang

Khamis, 1 Mac 2012

Serah sahaja PIBG pada Umno


01 Mac 2012

Entahlah... dari sehari ke sehari, guru-guru di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran bagai dijadikan orang suruhan Umno. Dikerah ke sana, pergi; dikerah ke sini, pergi.

Kerahan tenaga itu dibuat tanpa mengira waktu. Kadang-kadang waktu guru-guru bercuti hujung minggu. Macam-macam bentuk arahan dikeluarkan. Paling popular adalah Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP). Pernah guru-guru sekolah menengah di Selangor diberi arahan melaksanakan LDP. Tugasnya adalah menampal pelekat pada beberapa perkataan yang dikategorikan sebagai sensitif dalam novel Interlok.

Interlok adalah salah satu novel dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan 5 yang digunakan di sekolah-sekolah menengah di  Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, dan Putrajaya. Beberapa perkataan dalam novel itu dianggap tidak sesuai kerana kandungannya menyentuh sensitiviti kaum, khususnya kaum Melayu dan India.
Sudah penat menampal perkataan-perkataan yang dianggap sensitif itu, ada ura-ura novel itu akan dikeluarkan daripada senarai bacaan wajib bagi calon SPM.

Baru-baru ini diberitakan guru-guru di negeri Darul Iman diarahkan pula oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu untuk menghadiri Majlis Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah yang berlangsung di Stadium Negeri, 25 Februari lalu dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari. Setiap sekolah di sekitar Kuala Terengganu diminta menghantar 10 orang guru/kakitangan ke majlis tersebut.

Di Kelantan, arahan lisan dibuat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) kepada guru-guru agama yang mengajar di kawasan parlimen Kota Bharu supaya menghadiri majlis ceramah menampilkan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dipecat daripada PAS, Dato' Dr Hasan Mohd Ali.

Guru agama yang diarah hadir termasuk guru-guru yang mengajar Jawi, Quran dan Fardhu Ain (J-QAF) dan kelas fardhu ain (Kafa).

Sumber juga memberitahu, sudah tiga kali guru-guru agama diarah hadir pada program anjuran Umno Kota Bharu. Guru-guru terbabit juga diarah hadir pada program anjuran wanita Umno.

Banyak lagi kejadian guru-guru diarah meramaikan program politik BN oleh Kementerian Pelajaran. Pelaksana kepada arahan politik ini adalah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Di Selangor, program sekolah kebiasaannya dirasmikan oleh wakil Menteri Pelajaran. Yang peliknya, wakil Menteri Pelajaran adalah Adun-Adun parti pembangkang daripada BN. Apabila Adun-Adun parti pembangkang ini gagal hadir, maka pada kebiasaannya pemimpin Umno cawangan atau bahagian pula diminta mewakilinya. Maka majlis itu akhirnya akan dirasmikan oleh wakil kepada wakil Menteri Pelajaran. 

Pentadbir sekolah tidak dibenarkan menjemput pemimpin kerajaan negeri bagi merasmikan sebarang acara. Tetapi tidak menjadi kesalahan kepada sekolah-sekolah kementerian menerima sumbangan wakil rakyat Pakatan Rakyat. Peraturan baru itu dibuat setelah sekolah-sekolah menghadapi kekangan kewangan ekoran peruntukan untuk projek-projek infrastruktur sekolah sukar diperolehi daripada PPD.

Di musim mesyuarat agung PIBG sekarang, adalah lebih baik jika para penyokong Umno sahaja dilantik sebagai ahli jawatankuasa. Apatah lagi sekolah-sekolah dibawah kementerian sudah dijadikan 'markas politik Umno'. Biarlah ahli-ahli Umno diberi tanggung jawab mengumpul dana bagi membantu melengkapkan infrastruktur dan peralatan sekolah. Paling kurang, jawatankuasa PIBG penyokong Umno ini boleh mendapatkan bantuan daripada wakil-wakil rakyat Umno.

Daripada peruntukan jutaan ringgit yang diberikan Kerajaan Pusat kepada wakil rakyat Umno itu diselewengkan untuk tujuan politik, lebih baiklah ia disalurkan untuk pembangunan infrastruktur sekolah.

Tidak payahlah ibu bapa yang menyokong Pakatan Rakyat bersusah payah untuk menghadiri mesyuarat PIBG. Tidak payahlah nak berebut-rebut menjadi jawatankuasa PIBG jika kita akhirnya terpaksa mendengar celoteh wakil kepada wakil Menteri Pelajaran!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...