| 01 Mac 2012 |

Entahlah... dari sehari ke sehari, guru-guru di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran bagai dijadikan orang suruhan Umno. Dikerah ke sana, pergi; dikerah ke sini, pergi.
Kerahan tenaga itu dibuat tanpa mengira waktu. Kadang-kadang waktu guru-guru bercuti hujung minggu. Macam-macam bentuk arahan dikeluarkan. Paling popular adalah Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP). Pernah guru-guru sekolah menengah di Selangor diberi arahan melaksanakan LDP. Tugasnya adalah menampal pelekat pada beberapa perkataan yang dikategorikan sebagai sensitif dalam novel Interlok.
Interlok adalah salah satu novel dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan 5 yang digunakan di sekolah-sekolah menengah di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, dan Putrajaya. Beberapa perkataan dalam novel itu dianggap tidak sesuai kerana kandungannya menyentuh sensitiviti kaum, khususnya kaum Melayu dan India.