Selamat Datang

Selasa, 10 Julai 2012

Kimoterapi

Alhamdulillah setelah selamat menjalani pembedahan kansernya, isteriku kelihatan sihat sahaja. Jahitan pembedahan semakin baik dan elok. Mungkin disebabkan berhati-hati dan berpantang dalam pemakanan yang diambilnya.

Namun selepas beberapa hari, kelihatan bengkak seperti mengandungi air. Lama kelamaan satu tempat jahitan terbuka dan keluar air dengan banyaknya.

Aku membawa dia ke hospital untuk pemeriksaan dan doktor mengatakan bahawa ia suatu yang biasa dialami oleh pesakit selepas pembedahan. Cuma ia perlu dicuci setiap hari agar tidak dijangkiti oleh kuman. Terpaksalah aku membawanya setiap hari ke hospital untuk mencuci luka.


Apabila mendapat perkhidmayan hospital kerajaan, biasalah layanan yang diberikan tidak setanding dengan hospital swasta. Perkhidmatan yang lembab dan mengambil masa yang lama menunggu.Nak kata ramai orang pun tidak walaupun kadang-kadang memang ramai orang yang datang. Masa tiada orang pun begitu servis yang diberikan. Barangkali tidak dikenakan bayaran yang banyak agaknya.

Bengkak pada pembedahan masih ada walaupun jahitan semakin sembuh.. Pemeriksaan doktor dibuat mengikut tarikh temujanji yang ditetapkan dan isteriku memberitahu bengkak yang dialaminya. Doktor yang memeriksa dan masih muda itu mengatakan ia juga perkara biasa.

Kebetulan doktor pakar tiada pada hari itu, maka tidak dapat dirujuk. Lalu kami balik ke rumah tetapi pada malam itu berlaku sekali lagi air keluar dengan banyakknya dari lubang.

Aku membawa isteriku ke klinik swasta untuk pemeriksaan dan dinasihatkan untuk ke hospital bagi pemeriksaan dan rawatan selanjutnya kerana terdapat jangkitan kuman pada esoknya. Akum membawa isteriku semula ke hospital walaupun temujanji dibuat dua hari sahaja lagi dengan doktor pakar.


Apabila isteriku menunggu giliran beliau sehingga jam 12 tengahari, masih tidak dipanggil namanya sedangkan pesakit lain yang nombornya lebih lewat telah selesai dan pulang ke rumah. Rupanya fail isteriku tidak dijumpai.

Setelah dicari dimaklumkan seorang doktor pelatihntelah membawa pulang ke rumah untuk membuat kajian kononnya. Doktor yang memeriksa isteriku memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku.

Doktor yang memeriksa itu juga terkejut dengan keadaan isteriku kerana katanya sepatutnya rawatan telah dibuat untuk mengeluarkan air yang berkumpul yang disebut sebagai 'serama' dengan cara menyedut keluar tetapi tidak dilakukan oleh doktor yang memeriksa  dalam temujanji sebelumnya. Inilah sikap doktor-doktor muda sekarang ini yang membuat kerja sambil lewa dan tidak mahu merujuk kepada mereka yang lebih senior dan berpengalaman.

Setelah berjumpa dengn doktor pakar, isteriku dinasihatkan untuk menjalani kimoterapi. Aku menghantar isteriku masuk wad semalam. Harapan dan doaku agar dia tabah dengan apa yang dihadapinya. Barangkali inilah ujian dari Allah dan kafarat untuk menghapuskan dosa-dosa yang banyak ini....





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...