Selamat Datang

Isnin, 28 Januari 2013

Musim persekolahan telah bermula 2013

Dah hampir sebulan sekolah dibuka, guru-guru dan murid-murid sibuk dengan kerja masing-masing. Persediaan untuk persekolahan dibuat seminggu sebelum sekolah dibuka. Mesyuarat pertama dibuat dalam bulan Disember bagi memudahkan guru bersedia dengan RPT dan RPHnya. Disamping menyiapkan banyak kerja lain. Apabila buka sekolah P&P dapat dijalankan dengan lancar. Memang baguslah tapi kebajikan guru terabai sebenarnya.


Bila sebut tentang kebajikan guru ramai yang kata tak betul. Orang yang berkata demikian adalah orang yang tidak bekerja sebagai guru. Bagi guru-guru inilah hakikatnya yang sebenar. Mengapa? Ramai orang bersetuju bila jadi guru, banyak dapat cuti terutama bila cuti penggal persekolahan. Jumlah cutinya melebihi cuti kakitangan kerajaan yang lain yang cutinya antara 25 hari atau 35 setahun. Contohnya cuti Pengetua atau kakitanga di PPD,JPN atau KPM. 

Namun begitu kerja-kerja yang terpaksa dipikul oleh guru-guru ini sangatlah membebankan. Kerja-kerja guru tidak habis dan selesai semasa di sekolah sahaja. Malah terpaksa dibawa pulang krumah untuk disiapkan. Ramai guru-guru yang mengeluh dan bersungut-sungut tentang tugasan yang banyak. Satu kajian dibuat oleh pelajar sarjana disebuah universiti menyatakan tugas P&P guru disekolah hanya 11% sahaja. Manakala 89% lagi adalah tugas yang lain termasuklah kerja-kerja perkeranian, tukang kebun, tukang buat padang, jurulatih sukan dan permainan, pemandu ke hospital dan sebagainya.

Sejak kebelakangan ini, sistem penilaian murid juga mula berubah daripada sistem peperiksaan kepada PBS. Bila bermula sahaja suatu yang baru maka beban kerja itu terpaksa ditanggung oleh guru-guru. Sibuklah guru dengan kerja-kerja baru untuk menyediakan pentaksiran berasaskan sekolah. Berbagai-bagai persediaan dan persiapan perlu dibuat oleh mereka. Rata-rata guru-guru ini mengeluh disebabkan kerja-kerja yang berterusan.

Sebelum ini penggunaan SAPS yang masih tidak sempurna infrastruktunya menjadi bebanan kepada guru-guru. Ramai guru yang terpaksa bangun ditengah malam hanya semata-mata untuk menyiapkan kemasukkan markah peperiksaan kerana ia tidak dapat dibuat disiang hari. Dahlah penat mengajar diwaktu siang, malam-malam buta pun kena bangun buat kerja. Inilah nasib guru yang tidak siap peduli baik PPD, JPN dan KPM.

Kini MMI pula diperkenalkan agar guru-guru yang keluar dari sekolah mesti menggantikan masa yang ditinggalkan atas apa juga urusan. Yang menjadi persoalan ialah adakah guru-guru tersebut keluar hanya untuk suka-suka. Ramai guru-guru terlibat dengan penganjuran sukan samada menjadi penganjur, pengadil, pembawa pelajar terpaksa keluar dari sekolah semata-mata untuk menjayakan program tersebut.Mereka keluar bukan untuk berseronok. Malah kerja dan tanggungjawab mereka sangat besar dan berat. Masa bekerja mereka melebihi waktu kerja yang sebenarnya.

Begitu juga jika mereka terlibat dengan kursus atau bengkel samada dengan JPN, LPM, PPK dan sebagainya. Sudahlah tenaga dan masa banyak dihabiskan untuk kerja-kerja yang bermula dari pukul 8 pagi dan berakhir 10.30 malam. Malangnya  ia tidak dihargai dan apabila pulang ke sekolah terpaksa menggantikan masa keluar itu dengan mengadakan kelas ganti dan sebagainya. Rasanya di masa akan datang tidak akan ada guru yang ingin bekerja secara sukarela lagi seperti sekarang. Barangkali KPM,PPK, LPM akan mewajibkan guru-guru untuk terlibat dalam apa jua program yang dijalankan setelah semua guru-guru menolak untuk tidak mahu meninggalkan sekolah.

Dulu disebut oleh KPPK bahawa untuk aktiviti sekolah hanya boleh dijalankan pada hari Sabtu minggu kedua dan keempat sahaja. Sabtu minggu pertama dan ketiga diberi rehat untuk guru-guru. Apa yang berlaku di sekolah saya, setiap minggu hari sabtu ada aktviti yang dijalankan. Mengapa arahan tersebut tidak dipatuhi dan dimanakah hak guru?

Nampaknya apa yang berlaku kepada guru-guru kini terus diabaikan samada oleh jabatan atau kerajaan itu sendiri. Masyarakat pendidik yang ada kini mula bosan dan muak dengan bebanan kerja yang ditanggung oleh mereka. Satu kajian dibuat secara rawak menunjukkan hampir 80% golongan  pendidik mula menunjukkan sokongan kepada pembangkang. Kini pilihanraya ke 13 semakin hampir dan pengundi senyap ini akan menyatakan sokongan mereka untuk berubah. Seorang kawan menyatakan bahawa semua bebanan kerja yang diarahkan kepada guru kini adalah liabiliti kepada pemerintah sekarang. Tekanan dan bebanan kerja ini akan mempercepatkan lagi proses kejatuhan pemerintah yang ada sekarang.

Ada yang menjadikannya sebagai gurauan dengan berkata 'tak apa suruh kita buat itu dan ini kerana ia sementara saja, lepas pilihanraya ni semua kerja-kerja tu dah tak ada kerana kerajaan baru yang naik, apa nak susah. Keyakinan mereka untuk mendapat kerajaan baru sangat tinggi. Ini disebabkan mereka sedar hak masa rehat mereka makin kurang, kebajikan diri tidak dijaga, masa bersama keluarga dan anak-anak makin sedikit dan sebagainya.

Oleh itu diharapkan pihak yang tertentu dapat melihat perkara-perkara tersbut sebelum terlambat. Jangan sampai nasi menjadi bubur. Warga pendidik adalah golongan yang paling besar dalam komuniti kakitangan awam. Sekiranya mereka berubah nescaya kerajaan yang ada kini tidak akan dapat dipertahankan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...