Selamat Datang

Isnin, 2 April 2012

Pemantauan....

Seminggu saja lagi masa  yang kami ada untuk buat persiapan menanti kehadiran pemantauan dari JPN ke sekolah aku. Jadi banyaklah kerja-kerja yang diarahkan untuk itu. Masing-masing sibuk dengan tugas-tugas yang perlu disiapkan sehingga ada yang tak sempat nak ke bilik air bila kerja dah banyak sangat. Katanya rugi masa pergi ke tandas. Begitulah gigihnya guru-guru bila ada pemantauan nak dibuat.

Tahun lepas, rombongan dari Nazir yang datang. Nampaknya kerap sangat sekolah aku didatangi oleh pemantauan. Nak tau apa sebabnya... kerana sekolah aku dikategorikan sebagai sekolah SPR iaitu sekolah prestasi rendah dalam PMR dan SPM berbanding dengan sekolah-sekolah lain dalam daerah aku.

Bila mereka datang buat pemantauan, barulah tahu keadaan sebenarnya. Sekolah aku tu adalah sekolah bantuan modal. Jadi kelengkapan pembangunan sekolah memang dalam keadaan uzur dan tak berganti. Kalau nak ganti pun terpaksa cari kewangan sendiri. Sebab tu setiap tahun mesti ada projek PIBG untuk cari dana sekolah untuk beli kerusi meja yang patah, ganti white board yang uzur, mengecat dinding yang dah lusuh, baiki tandas yang sentiasa rosak dan sebagainya. Oleh itu setiap tahun akan adalah program seperti Jogathon, Walkathon, Jogingthon, Basikalthon, Ceriathon dan program thon-thon yang lain.


Ibu bapa dan guru-guru kena cari derma dari orang ramai untuk dana tersebut. Nak harap kerajaan ...entahlah. Cuma sejak akhir-akhir ni adalah sedikit bantuan dari orang-orang 'pemerintah'. Itu pun kerana dah dekat musim  pilihanraya agaknya. kalau tidak jangan haraplah nak nampak muka. Janji dah banyak kali tapi tak tunai pun... Begitulah gaya orang politik.

Berbalik kepada kenapa sekolah aku ni jatuh ke tahap SPR adalah kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai pelajar dari sekolah lain diterima masuk ke sekolah aku. Kalau yang datang tu pelajar A', bagus juga tapi semua yang masuk itu kebanyakkannya telah kena buang dari sekolah lamanya disebabkan oleh masalah disiplin atau ponteng sekolah. Malahan ramai yang tidak boleh membaca dan tidak dikehendaki oleh sekolah lama. Pengetua aku yang dulu tu pula jenis orang yang mudah terima sesiapa juga yang nak masuk ke sekolah tu.

Pening kepala aku bila mereka ini sebenarnya pelajar yang bermasalah disiplin dari sekolah lamanya. Dahlah ada problem disiplin, tak mahu belajar pula. Dalam kelas selalu buat bising dan tak mau dengar cakap cikgu sehinggakan semua cikgu bingung bila masuk ke kelas mereka. Ada guru yang makan ubat dulu sebelum masuk kelas. Kalau lapar perut pergi makan supaya kenyang. Kebanyakkan guru-guru yang terlibat mengajar kelas mereka sentiasa tertekan dengan sikap dan gelagat pelajar-pelajar ini.

Bila dikaji didapati kebanyakkan yang masuk ini, kaki gaduh, tak hadir sekolah tiga empat bulan, tak mau ikut peraturan sekolah seperti rambut panjang dan berwarna. Yang sedihnya ada satu kelas itu terdiri daripada pelajar yang tak boleh membaca langsung dan tidak tahu berbahasa melayu. Mereka tak faham bila cikgu cakap dalam bahasa melayu. Kena ada penterjemah dikalangan mereka. Sudah tentulah mereka inilah yang menyumbangkan peratus kegagalan yang tinggi dalam peperiksaan awam disekolah aku.

Yang aku sedih ialah sekolah-sekolah lain yang tak mahu pelajar ini, semuanya menghantarnya ke sekolah aku dan diluluskan oleh PPD dan JPN pula. Oleh itu sudah pastilah keputusan peperiksaan mereka baik kerana tidak ada lagi pelajar yang tidak tahu membaca dan menulis di sekolah mereka. Kami merasa seolah-olah sekolah kami tempat buangan pelajar-pelajar yang bodoh dan bermasalah disiplin. Akhirnya bila keputusan peperiksaan merosot, kami ditanya apa yang kami buat disekolah...samada oleh PPD atau JPN. Tak adillah kalau ramai pelajar yang pasti gagal dimasukkan ke sekolah kami dari sekolah-sekolah lain dan kemudian minta kami ajar mereka ini samapai lulus dan berjaya. Biarlah semua sekolah ada pelajar yang baik dan ada juga yang bermasalah. Ini tidak, pelajar yang bermasalah hantar ke sekolah kami. Lepas tu minta prestasi peperiksaan meningkat...

Pada tahun ni, dengan pengetua yang baru, beliau dah mula menghentikan permohonan masuk pelajar-pelajar yang bermasalah. Namun begitu masih ramai lagi pelajar sebegini di sekolah aku yang perlu dikawal. Mereka ini telah masuk pada tahun sebelumnya. Mungkin dalam masa dua atau tiga tahun yang akan datang, sekolah aku akan dapat meningkat prestasi kecemerlangan seperti tahun-tahun sebelumnya. Era kecemerlangan sekolah aku ini memang terserlah diperingkat daerah dan negeri dengan menggondol pelajar terbaik dari segi kualiti sejak beberapa tahun dahulu sehingga kini. Namun dari segi kuantiti saja tidak boleh dipertahankan kerana kemasukkan pelajar-pelajar yang aku sebutkan di atas yang agak ramai sehingga menjejaskan kegemilangan nama sekolah aku sejak beberapa tahun yang lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...