Selamat Datang

Isnin, 17 Oktober 2011

Kuasa...

Salam,

Dua bulan lalu, sekolah aku dapat seorang PK baru setelah PK lama bertukar naik pangkat sebagai seorang Pengetua di daerah aku. Biasanya apabila naik pangkat menjadi Pengetua barulah ada kuasa penuh dalam sesebuah sekolah. Jadi apa yang diinginkan akan dapatlah dibuat bila ada kuasa untuk mengarahkan semua guru-guru melaksanakan apa yang diperintahkan. Kalau sekadar jadi PK saja, kuasanya masih terhad sebab masih ada Pengetua sebagai Ketua jabatan atau ketua sesebuah organisasi sahaja. Apa-apa juga tindakan yang hendak dilakukan perlu kepada persetujuan Pengetua atau Guru Besar. Tidak boleh buat sewenang-wenangnya kerana guru-guru  masih ada tempat untuk mengadu kepada Pengetua sekiranya tindakan PK ini tidak disenangi atau zalim.



Apabila sudah menjadi pengetua, barulah mempunyai kuasa penuh. Jadi apa-apa saja yang nak dibuat sudah tidak menjadi masalah. Kalau dulu semasa jadi PK kena tanya pengetua dulu, baru boleh buat. Sekarang rasa nak buat arahkan sahaja. Begitu juga bila dah jadi PPD atau Pengarah Pelajaran. Apa juga visi dan misi baru yang nak dibuat, arahkan saja JPN, PPD dan sekolah laksanakan. Soal-soal kebajikan, kesesuaian, keutamaan dan sebagainya tak perlu dipertimbangkan dan diambil peduli. Yang penting segala arahan wajib ditunaikan oleh orang bawahan. Sebabnya ialah adanya kuasa. Boleh ke tak boleh ke jangan diambil peduli.

Begitulah yang terjadi kepada semua sekolah dinegeriku. Semua sekolah wajib ada bilik gerakan sense of urgency untuk tempat buat mesyuarat bagi mencapai misi top five dalam pencapaian peperiksaan awam tahun ini. Sebagaimana dalam ntree yang lalu dah aku sebutkan betapa sibuknya sekolah-sekolah dengan program berkaitan dengan peperiksaan. Sehingga hari ini di sekolah aku pun masih berjalan kelas tambahan diluar waktu persekolahan dan pada setiap hari sabtu. Masing-masing nak mengejar kejayaan yang entah boleh entah tidak untuk dicapai pada tahun ini.

Apa yang aku berasa sedih, ada dikalangan guru-guru yang sanggup memalsukan markah peperiksaan pelajar kerana ingin menunjukkan pencapaian yang meningkat dalam peperiksaan percubaan yang lalu. Wal hal pencapaian yang sepatutnya bukan demikian. Inilah yang boleh dikatakan tindakan untuk membodek pegawai atasan supaya gembira dengan program-program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah sehingga menunjukkan peningkatan dalam prestasi peperiksaan percubaan. Tindakan guru-guru ini hanya untuk menyelamatkan diri mereka agar tidak lagi menerima tekanan-tekanan yang membosankan.

Apa yang boleh dikata ialah keputusan peperiksaan percubaan ini mungkin boleh menyedapkan hati pegwai atasan tetapi bukanlah melambangkan keputusan peperiksaan sebenar bagi pelajar. Apakah kegembiraan yang bersifat sementara ini akan berterusan sehingga keputusan peperiksaan PMR dan SPM keluar kelak? Aku tak dapat bayangkan nanti sekiranya keputusan kini jauh berbeza dengan yang bakal keluar nanti. Malahan jangan ada dikalangan pegawai atasan yang mati terkejut akibat serangan jantung dan sebagainya jika keputusan itu sangat berbeza ibarat antara langit dengan bumi? Barulah ketika itu padan mukanya sebab kuasa yang ada digunakan dengan sewenang-wenangnya dan seolah-olah tidak menghargai langsung orang bawahan yang bertungkus lumus membuat tugas  dengan penuh tanggunjawab.

Oleh itu kepada yang ada kuasa, hendaklah ingat bahawa kuasa itu hanya sementara sahaja. Selagi ada pangkat, ada jawatan dan sebagainya orang akan hormat dan takut kepada kuasa yang ada pada kita tetapi apabila tidak ada kuasa nanti tak siapa pun akan hormat dan takut. Aku teringat seorang Pegawai PPD di daerah aku yang kini tidak lagi dihormati dan disegani oleh para guru. Kini dia telah bersara dan aku kesian melihat dia keseorangan tanpa ada kawan yang ingin berbual, bersama-sama di kedai kopi atau waktu berjoging dan sebagainya. Dulu waktu bertugas sebagai pegawai di PPD, dia begitu sombong dan angkuh kepada guru-guru yang ingin meminta pertolongan dan sebagainya. Tambahan pula waktu itu kerjanya dibahagian penenpatan dan pertukaran guru. Beberapa orang guru yang memohon pertukaran dan penenpatan tidak dilayan malah dilayani dengan kata-kata yang kasar dan sombong. Akhir Allah memberi balasan sehingga kini tidak dipedulikan oleh sesiapa pun.

Aku dapat melihat bahawa ia adalah suatu pengajaran kepada sesiapa sahaja yang berkuasa. Ingatlah yang memberi kuasa, jawatan dan pangkat datangya dari Allah. Bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik balik semua yang diamanahkan itu. Janganlah berasa sombong, bongkak dan angkuh dengan pinjaman yang sementara buat kita. Hendaklah kita sentiasa bersyukur dengan kurniaannya dan melaksanakan kerja-kerja dengan rendah diri, tawduk dan ingat akan Allah.Bertolak ansurlah bila melaksanakan tugas dan jangan sampai menzalimi orang lain kerana doa orang yang dizalimi ini akan dimakbulkan oleh Allah secara tunai.Sifat sombong hanyalah milik Allah dan Allah amat murka kepada orang yang cuba mengambil sifatnya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...